Prestasi jualan bulan September telah diumumkan oleh Proton dengan penjualannya mencapai 11,269 unit kenderaan (domestik & eksport) dan masih berjaya mengukuhkan kedudukan mereka di tempat kedua bagi jualan kenderaan di Malaysia.
Sedikit menurun berbanding dengan jumlah jualan pada Ogos iaitu sebanyak 12,690 unit. Namun, jualan keseluruhan bagi sembilan bulan pertama tahun ini telah merekodkan sebanyak 112,758 unit berjaya dijual oleh Proton. Dengan angka ini, Proton menjangkakan pegangan pasaran mereka kini berada pada sekitar 20.1%.
Proton Saga masih lagi mengekalkan kedudukannya sebagai model paling laris di dalam Proton dengan jumlah jualannya pada September mencapai 5,162 unit. Ini menjadikan jumlah terkumpul bagi Saga pada tahun ini sahaja sudah mencecah sebanyak 54,066 unit.
Proton X50 2024 juga menunjukkan jumlah jualan yang kukuh untuk tiga bulan berturut-turut sejak pelancarannya dengan jumlah jualannya sebanyak 1,771 unit pada September. Ini menjadikan X50 sebagai SUV segmen-B paling laris di Malaysia dan sudah mencecah sebanyak 17,000 unit.
Proton X70 facelift 2024 juga menunjukkan prestasi yang hebat dan mengagumkan dengan sebanyak 1,466 unit berjaya dijual pada September selepas pelancaran rasminya pada 19 Ogos. Ini merupakan jualan bulanan tertinggi dicatatkan oleh X70 sejak Disember 2022. Ini menjadikan jumlah kumulatif tahunannya mencapai 5,482 unit setakat ini untuk 2024, menurut Proton.
Ia seterusnya disambung oleh Proton Persona dengan jumlah jualannya sebanyak 1,295 unit, sekaligus mencatat jumlah terkumpul untuk tahun ini sebanyak 14,411 unit. Ia disambung dengan Proton S70 sebanyak 1,013 unit, Proton Iriz sebanyak 345 unit dan Proton X90 sebanyak 217 unit pada September 2024.
“September secara tradisional adalah bulan yang perlahan bagi industri automotif, dan 2024 juga tidak terkecuali. Pengurangan dalam volum Proton adalah jauh lebih kecil berbanding penurunan dalam TIV. Ini menunjukkan cabaran sukar bagi suku akhir tahun untuk industri automotif.
Dengan dua model SUV yang baru diperbaharui dan sebuah sedan yang memasuki tahun penuh pertama jualannya, Proton yakin mempunyai produk yang diperlukan untuk meningkatkan volum jualan dalam tiga bulan akan datang,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.
“Ini akan diperkukuh dengan aktiviti promosi kami dan tidak lama lagi, kami akan melancarkan kempen di seluruh negara untuk memberi ganjaran kepada pelanggan kami dengan hadiah dan ganjaran yang menarik. Pada masa yang sama, usaha kami untuk memberikan pengalaman jenama premium di pusat jualan dan meningkatkan perkhidmatan selepas jualan akan diteruskan sebelum kemuncaknya dengan pelancaran model EV pertama kami pada bulan Disember,” tambahnya.