GWM Malaysia secara rasmi telah melancarkan Haval H6 HEV ke dalam pasaran Malaysia hari ini. Hanya 1 varian akan ditawarkan dengan harga bermula RM139,800 dan tempahan telah pun dibuka pada awal bulan lepas.
Model ini berukuran 4,683 mm panjang, 1,886 mm lebar, 1,730 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,738 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 560 liter dan meningkat hingga 1,485 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Ia didatangkan dengan enjin 1.5 liter turbo hibrid yang mampu menjana kuasa sebanyak 130 PS dan 300 Nm tork manakala jika digandingkan bersama dengan motor elektrik, mampu menjana kuasa sebanyak 243 PS dan 530 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 175 km/j.
Untuk rekaan luaran, perincian standard untuk pasaran Malaysia seperti lampu hadapan LED matrix, gril hadapan ‘Star Matrix’, bumbung panaromik dan rim aloi 19-inci dalam kemasan hitam berkilat.
Beralih kepada bahagian dalaman, ia menerima sistem infotainment bersaiz 12.3 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, sistem pendingin hawa dua-zon, meter kluster bersaiz 10.25 inci, pintu tailgate bantuan kuasa, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi beserta dengan 4 mod pemanduan iaitu Standard, Sport, Eco dan Snow.
Haval H6 HEV telah pun dipasang secara tempatan (CKD) di kilang milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) di Melaka dan penghantaran pertama akan dibuat kepada pelanggan selepas pelancaran ini dengan setiap unit melalui pelbagai pemeriksaan kualiti yang ketat dan ujian keselamatan di atas litar.
5 pilihan warna luaranakan ditawarkan iaitu Energy Green, Ayers Silver, Crayon Grey, Sun Black dan Hamilton White. Waranti 10 tahun/1 juta km untuk enjin dan waranti 8 tahun/1 juta km untuk sistem HEV bersama dengan waranti penuh kenderaan selama 7 tahun/200,000 km akan diberikan eksklusif untuk pemilik pertama dan pendaftaran persendirian sahaja.
Selain itu, sempena pelancaran rasminya, GWM Malaysia turut memberikan rebat sebanyak RM3,000 kepada pelanggan yang membuat tempahan sebelum 20 Oktober ini dan penyelenggaraan percuma selama 5 tahun kepada pemilik yang mendaftarkan GWM Haval H6 HEV pada tahun 2024 (termasuk alat ganti dan kos buruh).