Stellantis Malaysia telah melancarkan sebuah lagi jenama dan model baru di bawah mereka, Leapmotor C10, sebuah SUV elektrik ke dalam pasaran Malaysia. Hanya satu varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia dengan spesifikasi tertinggi pada harga bermula RM159,000.
Model ini berukuran 4,739 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,680 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,825 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 435 liter dan meningkat hingga 1,410 liter sekiranya tempat duduk belakang dibaringkan.
Ia dikuasakan oleh bateri berkuasa tinggi jenis lithium iron phosphate (LFP) dan mampu menghasilkan 218 PS dan 320 Nm tork. Jarak sejauh 420 km boleh dicapai dengan pek bateri berkapasiti 69.9 kWh. Pecutan dari 0-100 km/j hanya 7.5 saat manakala kelajuan maksimumnya adalah 170 km/j.
Bagi pengecasannya, jika menggunakan pengecas pantas DC berkapasiti maksimum 84 kW, ia boleh mencapai status pengecasan 30% hingga 80% dalam masa 30 minit. Manakala untuk pengecasan biasa AC memerlukan kapasiti maksimum 6.6 kW untuk mencapai status pengecasan yang sama dalam masa 6.1 jam.
Untuk rekaan luaran, Leapmotor C10 ini hadir dengan sepasang lampu utama LED angel wing dengan lampu nyalaan siang (DRL) binaan dalam. Spoiler belakang hadir dengan pengelap cermin tersembunyi dan bar lampu animasi LED yang menyerlahkan lagi rekaannya yang minimalis.
Memasuki ruang dalam, model ini mengamalkan konsep minimalis dengan hanya stereng dua-jejari dan dua paparan digital, satu untuk panel instrumen bersaiz 10.25-inci dengan resolusi 1920 x 720 dan sebuah lagi paparan di tengah bersaiz 14.6-inci dengan resolusi 2560 x 1440.
Selain itu, kerusi dibalut dengan kulit buatan Oeko-Tex Standard 100 yang kalis cecair dan mesra bayi, ditawarkan dalam dua skim warna iaitu Criollo Brown dan Midnight Aurora. Ada juga ciri kawalan pendingin dua zon, bumbung kaca panoramik tetap 42-inci dengan pelindung matahari elektrik serta kerusi depan berkuasa dan berliang, pengecas telefon tanpa wayar, empat slot USB, lampu ambient serta pintu ruang barangan berkuasa.
Untuk membuka kereta, hanya jenis kad kunci NFC disediakan, di mana titik aksesnya berada di bahagian cermin sisi. Kunci NFC berkenaan kemudiannya perlu diletakkan di tengah untuk membolehkan kenderaan dihidupkan. 4 pilihan warna luaran akan ditawarkan iaitu Midnight Aurora, Pearly White, Tundra Grey dan Glazed Green.
Bagi sistem keselamatan pula, C10 dilengkapi dengan tujuh-beg udara, sensor parkir belakang dan kamera 360-darjah. Ia juga mendapat ciri ADAS Tahap 2 dengan 12 sensor berketapatan tinggi dan menawarkan 17 fungsi berkaitan, termasuk kawalan melayar adaptif, bantuan kelajuan pintar, bantuan kesesakan lalu lintas, amaran perlanggaran depan, AEB, amaran penukaran lorong dan bantuan mengekalkan lorong.
Leapmotor C10 didatangkan dengan jaminan 6 tahun/150,000 km serta jaminan bateri selama 8 tahun/160,000 km. Tempoh selang servis bagi SUV ini adalah sebanyak satu tahun sekali, atau 20,000 km (yang mana dahulu). Pelanggan yang membuat tempahan sebelum 30 November 2024, akan mendapat harga pengenalan sebanyak RM149,000.