UMW Toyota Motor telah melancarkan secara rasmi Toyota Camry 2025 di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Hanya satu varian iaitu Hibrid 2.5 HEV akan ditawarkan dengan harga bermula RM248,800 (on-the-road tanpa insurans).
Model ini berukuran 4,920 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,445 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,825 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 524 liter dan berat sebanyak 1,645 kg.
Ia didatangkan dengan enjin empat silinder 2.5 liter Dynamic Force A25A-FXS yang mampu menjana kuasa sebanyak 186 PS dan 221 Nm tork. Jika digandingkan bersama dengan motor permanent magnet synchronous, mampu menjana kuasa sebanyak 136 PS dan 208 Nm tork, bersama dengan bateri lithium-ion serta transmisi eCVT, dengan kuasa keseluruhan sebanyak 230 PS dan 1,250 km jarak gerak.
Perubahan yang paling ketara adalah pada rekaan hadapan di mana reka bentuk Toyota baharu (juga digunakan dalam Prius dan Crown terkini) telah digunakan. Ini menggabungkan reka bentuk ‘HammerHead’ dengan muka hadapan yang lebih rendah dan gril bawah yang tinggi dan lebar dengan berlian bersepadu bercorakkan mesh merentasi bar mendatar.
Beralih kepada bahagian dalaman, anda dapat lihat skrin infotainmen bersaiz 12.3 inci dengan sambungan Android Auto dan Apple CarPlay, panel instrumen bersaiz 12.3 inci dan head-up display, bumbung panoramik, 9 pembesar suara JBL, pengecas telefon tanpa wayar, reclining seats, Electronic Parking Brake dan Tri-Zone Climate Control.
Untuk sistem keselamatan, kereta ini menerima 7 beg udara dan Toyota Safety Sense 3.0 yang termasuk AEB, ACC, Lane Departure Alert, Lane Tracing Assist, Road Sign Assist, Auto High Beam, Safe Exit Assist dan Blind Spot Monitor. Selain itu, kereta ini juga dilengkapi dengan sistem telematik, perakam video hadapan dan belakang serta penapis haba cermin.
6 pilihan warna luaran akan ditawarkan iaitu Cement Grey, Dark Blue Mica, Precious Metal, Emotional Red, Platinum White Pearl dan Attitude Black.
Setiap pembelian melayakkan pemilik untuk mendapat waranti kenderaan selama 5 tahun tanpa had mileage dan waranti 8 tahun tanpa had mileage untuk sistem hibrid termasuk bateri, inverter serta unit kawalan pengurusan kuasanya. Pemilik yang ingin melanjutkan waranti sistem hibrid ini kepada 10 tahun boleh membuat bayaran tambahan sebanyak RM3,500.
Pelanggan yang berminat boleh hadir ke booth Toyota di KLIMS 2024 untuk melihat sendiri dan membuat tempahan model ini.