Toyota Corolla Cross Hybrid Facelift Dilancarkan di KLIMS 2024: 3 Varian, Harga Bermula RM134,000

Selain Toyota Camry 2025, UMW Toyota Motor turut melancarkan Toyota Corolla Cross Hybrid Facelift di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024. Tiga varian telah ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu varian petrol paling asas, Corolla 1.8V pada harga RM133,800, varian Hybrid Electric pada harga RM140,800 dan varian HEV GR Sport pada harga RM148,800 (on-the-road tanpa insurans).

Model ini berukuran 4,460 mm panjang, 1,825 mm lebar, 1,620 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,640 mm. Ia memiliki ruang penyimpanan barangan di belakang berkapasiti 440 liter dan berat sebanyak 1,405 kg.

Bagi spesifikasi enjin, varian petrol masih menggunakan enjin 2ZR-FE 1.8 liter Dual VVT-i yang mampu menjana kuasa sebanyak 139 PS dan 172 Nm tork. Ia digandingkan bersama kotak gear CVT 7-kelajuan maya dengan mod manual, untuk memacu roda hadapan.

Bagi varian hibrid, ia digandingkan bersama enjin kitaran Atkinson 2ZR-FXE 1.8 liter Dual VVT-i NA empat silinder yang mampu menjana kuasa sebanyak 98 PS dan 142 Nm tork bersama dengan 2 motor elektrik bagi menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 122 PS menerusi kotak gear E-CVT.

Anda dapat lihat reka bentuk gril hadapan baharu, bampar yang telah dikemas kini dan lampu depan Bi-LED yang lebih sporty, menonjolkan lagi rupa baharu Corolla Cross ini. Selain itu, varian GR Sport turut menonjol dengan bumbung hitam dua warna eksklusifnya, meningkatkan perwatakan sporty dan maskulin.

Di bahagian dalam, Corolla Cross 2025 baharu menampilkan warna coklat gelap yang elegan, dilengkapi dengan Multi-Information Display (MID) bersaiz 12.3 inci dan sistem Audio dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri seperti Electric Parking Brake (EPB) dan Sistem Telematik yang telah dinaik taraf dengan Remote Engine Start dari jarak jauh juga tersedia.

Untuk keselamatan, kesemua varian Corolla Cross pasaran Malaysia menerima kelengkapan standard termasuk 7 beg udara, Pemantau Titik Buta (BSM) dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Bantuan Mula Mendaki dan Sistem Amaran Tekanan Tayar (TPWS).

Tidak dilupakan, sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) seperti Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Stereng, cruise control adaptif, Bantuan Pengesan Lorong (LTA) dan Lampu Tinggi Automatik (AHB).

5 pilihan warna luaran akan ditawarkan iaitu Celestite Grey Metallic, Red Mica Metallic, Silver Metallic, Platinum White Pearl dan warna baharu Dark Turquoise.

Semua varian melayakkan pemilik untuk mendapat waranti kenderaan selama 5 tahun tanpa had mileage dan tambahan waranti 8 tahun tanpa had mileage untuk sistem hibrid termasuk bateri, inverter serta unit kawalan pengurusan kuasanya akan diberikan untuk varian Hibrid.

Pelanggan yang berminat boleh hadir ke booth Toyota di KLIMS 2024 untuk melihat sendiri dan membuat tempahan model ini.

Gallery

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2023 Copyright. All Rights Reserved. NAZZNCO (M) SDN BHD