passionately driven

Lebih 35,000 Kemalangan dan 730 Kematian Direkodkan di LPT1

Lebih 35,000 Kemalangan dan 730 Kematian Direkodkan di LPT1

Sejak Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) dibuka pada tahun 2004 hingga Disember tahun lepas, sebanyak 35,551 kemalangan telah direkodkan, menurut Dewan Undangan Negeri Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Razali Kassim, berkata daripada jumlah itu, sebanyak 730 kematian telah dicatatkan.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun tiada kawasan di sepanjang LPT1 yang diklasifikasikan sebagai kawasan hitam, terdapat beberapa lokasi yang sering berlaku kemalangan. Usaha penambahbaikan telah dijalankan untuk mengurangkan risiko kemalangan di lokasi seperti di KM238.7 dan KM87 hala barat, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada soalan Datuk Wong Tat Chee yang ingin tahu jumlah kemalangan dan kematian di sepanjang LPT1 dalam negeri Pahang serta lokasi yang sering berlaku kemalangan.

Razali turut memaklumkan bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melakukan analisis tahunan menggunakan Sistem Analisis dan Pangkalan Data Kemalangan Jalan Raya Lebuhraya Malaysia (MHROADS) untuk mengenal pasti kawasan berisiko dan melaksanakan langkah keselamatan yang bersesuaian.

Katanya, keberkesanan langkah-langkah ini akan sentiasa dipantau bagi memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan.

Razali juga berkata AFA Prime Berhad, syarikat yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara LPT1, akan terus memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna lebuh raya. Ini termasuk audit keselamatan jalan raya, kempen kesedaran, sesi advokasi bersama pengguna, serta memastikan maklumat dan pengumuman sampai kepada pengguna dengan cepat dan jelas.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD