Lebih 3,200 Peluang Kerja Menanti Anak Tempatan Melalui Projek ECRL Menjelang 2027

Lebih 3,200 Peluang Kerja Menanti Anak Tempatan Melalui Projek ECRL Menjelang 2027

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terus memberi impak signifikan kepada pembangunan negara apabila fasa operasinya dijangka mewujudkan lebih 3,200 peluang pekerjaan baharu menjelang tahun 2027.

Menurut Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke, kerajaan beriltizam memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada jumlah tenaga kerja ini diisi oleh warga tempatan, khususnya mereka yang berkemahiran dan memiliki latihan teknikal yang mencukupi.

“Langkah ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperkasa sektor rel negara serta mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing,” katanya dalam satu majlis penyampaian tawaran latihan kepada pelatih Program Industri ECRL baru-baru ini.

Sebagai persediaan, seramai 210 belia tempatan telah dipilih menyertai program latihan intensif selama setahun di Liuzhou, China. Latihan ini merangkumi aspek teori dan praktikal dalam bidang pengendalian tren, penyelenggaraan lokomotif elektrik (E-Loco), sistem isyarat serta penyelenggaraan talian atas.

Program ini merupakan komponen utama dalam inisiatif Program Latihan Kemahiran Industri ECRL (PLKI-ECRL) yang telah diperkenalkan sejak 2017. Ia bertujuan membina kapasiti tenaga kerja tempatan secara mampan dan jangka panjang.

Bagi memastikan pengoperasian dan penyelenggaraan ECRL berjalan lancar, sebuah syarikat usaha sama, ECRL Operation Sdn Bhd, telah ditubuhkan. Syarikat ini merupakan kerjasama 50:50 antara Malaysia Rail Link (MRL) dan syarikat pembinaan China Communications Construction Company (CCCC).

Setakat ini, kemajuan keseluruhan projek ECRL telah mencapai lebih 81 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2026. Laluan sepanjang 665 kilometer ini bakal menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor – sekaligus membuka akses ekonomi baharu dan merangsang pembangunan luar bandar di sepanjang koridor Pantai Timur.

SUMBER: AstroAwani

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD