SYDNEY – Seorang ahli Parlimen bebas Australia, Helen Haines, berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta sebanyak dua kali dalam kejadian di Wangaratta, kira-kira tiga jam perjalanan ke timur laut Melbourne.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan kejadian itu sebagai perbuatan yang disengajakan dan bukannya kemalangan biasa.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati Haines sedang mengeluarkan atau memuatkan barang di ruang but keretanya ketika kenderaan berkenaan melanggarnya.
Albanese dalam kenyataannya kepada ABC News menegaskan bahawa kejadian itu tidak menunjukkan ciri-ciri kemalangan akibat pemandu hilang kawalan atau terbabas dari jalan raya.
Susulan insiden tersebut, Haines terpaksa menjalani pembedahan pada malam kejadian dan masih berada dalam keadaan kritikal.
Seorang lelaki berusia 43 tahun telah ditahan berhubung kejadian itu. Siasatan turut melibatkan pihak berkuasa antikeganasan bersama beberapa agensi berkaitan, manakala polis memaklumkan lelaki berkenaan dijangka disoal siasat pada pagi berikutnya.
Bagaimanapun, pihak polis menyifatkan kejadian itu sebagai insiden terpencil.
Menteri Dalam Negeri Australia, Tony Burke, memberitahu ABC Radio bahawa saksi mendakwa suspek mengundurkan kenderaannya sebelum merempuh Haines buat kali kedua.
Seorang individu yang berada di lokasi kejadian dilaporkan bertindak menarik suspek keluar dari kereta tersebut.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk motif di sebalik tindakan berkenaan.
Albanese berkata, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai motif serangan itu. Namun, beliau mengambil kesempatan untuk menggesa masyarakat supaya berinteraksi dengan lebih hormat dan mengelakkan ketegangan yang boleh membawa kepada keganasan.
Kejadian itu mencetuskan kebimbangan memandangkan serangan ganas terhadap ahli politik jarang berlaku di Australia.
Di negara itu, ahli Parlimen, pemimpin negeri dan perdana menteri lazimnya boleh mengunjungi pasar raya, kedai kopi serta menghadiri acara komuniti dengan kawalan keselamatan yang minimum sambil berinteraksi secara langsung dengan orang ramai.
Albanese turut mendedahkan bahawa ancaman terhadap ahli politik meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau menegaskan bahawa semua pihak mempunyai tanggungjawab untuk meredakan ketegangan dalam masyarakat, terutama ketika perpecahan semakin ketara.
Haines sebelum ini mempunyai latar belakang dalam bidang kejururawatan dan perbidanan serta pernah berkhidmat sebagai ahli akademik sebelum dipilih sebagai ahli Parlimen bebas bagi kawasan Indi pada 2019.
Beliau kemudian berjaya mengekalkan kerusi tersebut dalam pilihan raya 2022 dan 2025.
Siasatan terhadap kejadian yang menimpanya masih diteruskan, sementara mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani pembedahan.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?