GUA MUSANG – Seorang ibu bersama bayi lelakinya yang berusia dua bulan maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah Perodua Myvi dan sebuah motosikal di Kilometer 52, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, kira-kira jam 5.30 petang.
Kejadian dipercayai berpunca daripada sebuah Perodua Myvi berwarna merah yang terbabas ke laluan bertentangan ketika dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menuju ke Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kereta berkenaan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian sisi belakang kanan sebuah Perodua Myvi berwarna jingga.
Kenderaan itu kemudian bertembung dengan sebuah lagi Perodua Myvi berwarna putih yang dinaiki mangsa, Maslina Md Shafie, 33, bersama bayinya, Medina El Zahra Muhammad Zulfadhli.
Menurut beliau, sebuah motosikal jenis SYM yang berada di belakang Myvi putih turut terlibat apabila penunggangnya gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta berkenaan.
Akibat kejadian itu, penunggang motosikal berkenaan tercampak ke atas jalan, manakala Maslina dan bayinya disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Mangsa-mangsa lain yang terlibat dalam nahas itu dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan lanjut. Bagaimanapun, pemandu serta penumpang Perodua Myvi berwarna jingga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sik berkata, mayat kedua-dua mangsa yang maut telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 berkaitan kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Aida, di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang menerusi talian 09-912 1222.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?