KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan akan menyediakan tambahan 100,000 langganan kecerdasan buatan (AI) secara percuma kepada golongan muda selepas inisiatif berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahan itu juga akan memberi peluang kepada lebih ramai anak muda untuk mengakses aplikasi AI terkini, termasuk ChatGPT.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, beliau menegaskan bahawa golongan muda perlu melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi yang bakal menjadi antara bidang penting pada masa hadapan. Antara bidang yang diberi perhatian termasuk pengaturcaraan komputer atau coding, sains data dan teknologi kuantum.
Menurut Anwar, usaha memperluas akses kepada teknologi dan pendidikan digital turut dilaksanakan menerusi Platform Rakyat Digital, yang menawarkan pelbagai kursus dalam talian secara percuma hasil kerjasama dengan Coursera. Melalui platform itu, pengguna boleh mengikuti lebih 16,000 kursus serta program Sijil Profesional yang ditawarkan oleh universiti dan organisasi industri terkemuka di seluruh dunia.

Dalam pada itu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM6 bilion bagi memperkukuh aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan hasil ciptaan merentasi kementerian. Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, AI Malaysia Berhad turut menerima peruntukan hampir RM15 juta bagi memperkukuh pembangunan ekosistem AI yang selamat dan beretika.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mencapai sasaran melahirkan 200,000 tenaga mahir dalam bidang AI.Selain pembangunan bakat, sokongan turut diberikan kepada sektor perusahaan menerusi dana berjumlah RM30 juta daripada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Dana berkenaan disasarkan untuk membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mengadaptasi teknologi AI serta mengautomasi operasi perniagaan masing-masing. Program itu juga akan menyediakan latihan dan pensijilan kepada 5,000 profesional AI bagi meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang berkenaan.
Langkah-langkah ini mencerminkan usaha kerajaan memperluas penggunaan teknologi digital, meningkatkan kemahiran anak muda dan membantu perniagaan tempatan menyesuaikan diri dengan perkembangan AI.
Sumber: RTM
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?