Sidang Kemuncak ASEAN: 6 Lebuhraya dan 25 Jalan Utama Bakal Ditutup dan Dilencongkan

Sidang Kemuncak ASEAN: 6 Lebuhraya dan 25 Jalan Utama Bakal Ditutup dan Dilencongkan

6 lebuh raya dan 25 jalan utama di Lembah Klang akan ditutup atau dilencongkan secara berperingkat minggu ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, lapor New Straits Times.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, penutupan ini bergantung kepada pergerakan konvoi rasmi dan keperluan keselamatan.

Langkah kawalan trafik ini bertujuan untuk mengiringi delegasi dari tempat penginapan ke lokasi mesyuarat dan acara rasmi dari 23 hingga 26 Mei.

“Penutupan dan lencongan akan bermula seawal jam 7.30 pagi dan dilakukan secara berperingkat sehingga 8 malam sepanjang sidang kemuncak,” kata Mohd Yusri dalam sidang media selepas memberi taklimat di Perhimpunan Personel Sumber Manusia Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur.

“Setiap jalan akan ditutup 30 minit sebelum pergerakan konvoi dan dibuka semula selepas semua kenderaan rasmi tiba di destinasi masing-masing.”

Laluan yang terlibat termasuk jalan yang menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Subang (LTSAAS) ke pusat bandar, hotel penginapan, Pusat Konvensyen KL (KLCC), dan Istana Negara.

Antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Maju (MEX), Lebuhraya Duta–Ulu Klang (DUKE), Lebuhraya Bertingkat Ampang–KL (AKLEH), Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), dan Terowong SMART.

Beberapa jalan utama dijangka dilencongkan termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan P Ramlee, Jalan Kia Peng, Jalan Pinang, Jalan Conlay, Jalan Stonor, Jalan Perak, Jalan Tun Ismail, Jalan Kuching, Jalan Sultan Salahuddin, Jalan Damansara, Jalan Mahameru, Jalan Raja Laut, Jalan Parlimen, Jalan Travers, Jalan Bangsar, Jalan Maarof, Jalan Syed Putra, Jalan Istana, Jalan Sungai Besi, dan Jalan Loke Yew.

Mohd Yusri menasihatkan pengguna jalan raya supaya mengelak kawasan-kawasan ini dan merancang perjalanan lebih awal.

“Kami galakkan orang ramai menggunakan laluan alternatif atau pengangkutan awam seperti LRT, MRT, dan monorel untuk elak kesesakan, terutama di kawasan penting dalam bandar,” katanya.

Beliau juga berkata bahawa pihak polis trafik bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Kementerian Kerja Raya, dan konsesi lebuh raya untuk menguruskan aliran trafik semasa sidang kemuncak.

Beliau turut mengingatkan orang awam agar tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan, kawasan larangan, atau mana-mana tempat yang boleh menghalang laluan konvoi rasmi.

“Kami akan kerahkan trak tunda untuk alih kenderaan yang menghalang laluan konvoi, terutamanya jika pemilik tidak dapat dikesan.

“Kami juga merayu kepada premis perniagaan dan syarikat di kawasan terlibat supaya memastikan kakitangan mereka tidak meletakkan kenderaan sesuka hati sepanjang tempoh sidang kemuncak,” katanya.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD