Pelaksanaan subsidi bahan api RON95 tetap akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun 2025, menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata Kementerian Kewangan sedang meneruskan rancangan untuk menguruskan subsidi dengan lebih berkesan, namun keutamaan sekarang adalah untuk mengenal pasti kumpulan yang layak menerima subsidi tersebut.
“Proses ini akan diteruskan, tetapi kita perlu pastikan dahulu subsidi diberikan kepada penerima yang betul. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Jemaah Menteri sedang membincangkan paras kelayakan pendapatan bagi rakyat Malaysia untuk menerima subsidi. Tahap kelayakan ini akan dinaikkan,” kata Amir Hamzah selepas merasmikan Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2025 semalam.
Beliau turut menyatakan bahawa kerajaan masih mempertimbangkan penggunaan MyKad bagi melaksanakan subsidi RON95 secara bersasar, menurut laporan The Edge.
“Setiap rakyat Malaysia ada MyKad, dan kita sudah gunakannya dalam program Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dengan berkesan. Kini, Kementerian Kewangan sedang memperkemas sistem supaya boleh digunakan dalam pelaksanaan subsidi RON95,” jelas beliau.
Ketika ditanya mengenai permintaan pemain industri agar peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ditangguhkan, Amir Hamzah berkata kerajaan sedang meneliti maklum balas yang diterima.
“Kerajaan sentiasa mengambil kira pandangan rakyat. Berkenaan perubahan SST, kita telah berbincang dengan pihak-pihak berkepentingan dan segala maklum balas yang diterima sedang dipertimbangkan,” katanya.