Volvo Cars Perkenal Tali Pinggang Keselamatan Multi-Adaptif pada Model Volvo EX60

Volvo Cars Perkenal Tali Pinggang Keselamatan Multi-Adaptif pada Model Volvo EX60

Volvo Cars telah memperkenalkan satu penambahbaikan penting pada tali pinggang keledar, iaitu tali pinggang keselamatan multi-adaptif. Teknologi baharu ini merupakan yang pertama di dunia dan direka untuk meningkatkan keselamatan dalam situasi trafik sebenar, mengikut keadaan pemanduan dan ciri individu yang memakainya.

Tali pinggang keselamatan ini akan digunakan buat kali pertama pada model elektrik penuh Volvo EX60 pada tahun 2026. Ia menggunakan data masa nyata daripada sensor kereta untuk menyesuaikan diri dengan keadaan jalan dan individu berdasarkan ketinggian, berat, bentuk badan dan posisi duduk mereka.

Contohnya, jika seseorang yang lebih besar terlibat dalam kemalangan serius, tali pinggang akan mengetatkan lebih kuat untuk mengurangkan risiko kecederaan kepala. Manakala untuk individu yang lebih kecil dalam kemalangan ringan, tali pinggang akan menggunakan kekuatan yang lebih rendah untuk mengelakkan tulang rusuk retak.

Ini dapat dilakukan kerana peningkatan besar dalam variasi tetapan ‘load-limiting’, iaitu sistem yang mengawal kekuatan tali pinggang semasa kemalangan. Sebelum ini hanya ada tiga tetapan, kini terdapat sebelas—membolehkan perlindungan yang lebih tepat dan peribadi.

Menurut Åsa Haglund, ketua Pusat Keselamatan Volvo Cars, tali pinggang ini menunjukkan bagaimana data masa nyata boleh menyelamatkan lebih banyak nyawa. Ia adalah peningkatan besar kepada tali pinggang keledar tiga poin yang dicipta oleh Volvo pada tahun 1959, yang dipercayai telah menyelamatkan le bih sejuta nyawa.

Tali pinggang keselamatan baru ini menggunakan data dari pelbagai sensor—di dalam dan luar kereta. Dalam masa kurang dari sekelip mata, sistem kereta akan menganalisis arah, kelajuan dan kedudukan penumpang, lalu menetapkan tetapan tali pinggang yang paling sesuai.

Teknologi ini juga direka untuk terus diperbaiki dari masa ke masa melalui kemas kini perisian. Semakin banyak data yang diperoleh, semakin baik sistem memahami situasi kemalangan dan cara bertindak balas.

Tali pinggang ini adalah sebahagian daripada sistem keselamatan menyeluruh Volvo, yang berfungsi bersama beg udara, pengesan penumpang, dan teknologi bantuan pemandu. Gabungan ini memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh dan mengurangkan risiko kecederaan lanjut.

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD