Surau R&R Seremban Catat Sejarah, Pertama Dibenar Dirikan Solat Jumaat di Lebuh Raya

Surau R&R Seremban Catat Sejarah, Pertama Dibenar Dirikan Solat Jumaat di Lebuh Raya

Surau Madani di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) mencipta sejarah sebagai surau pertama di lebuh raya negara yang menerima kelulusan rasmi untuk mendirikan solat Jumaat.

Pengisytiharan tersebut disempurnakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Profesor Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin, dalam satu majlis khas pada Rabu.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Ir. Zakaria Ahmad Zabidi, memaklumkan bahawa kelulusan ini adalah hasil kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS sendiri.

“Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen PLUS dalam menyediakan kemudahan ibadah yang selesa dan mudah diakses, bukan sahaja kepada pengguna lebuh raya, tetapi juga kepada komuniti setempat di sekitar Labu dan Seremban,” katanya.

Surau Madani itu mampu menampung sehingga 150 jemaah lelaki pada satu-satu masa, dan dibina dengan reka bentuk mesra pengguna, termasuk kemudahan untuk warga emas dan OKU. Bagi memenuhi keperluan solat Jumaat, surau ini telah dinaik taraf dengan pemasangan mimbar, mihrab, dan sistem pembesar suara.

PLUS turut menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kariah Penaja yang dianggotai oleh 93 pemastautin tetap kawasan R&R berkenaan.

“Lebuh raya bukan sekadar laluan fizikal yang menghubungkan destinasi, tetapi juga medium yang menyatukan insan dengan Tuhannya,” tambah Zakaria.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan memaklumkan bahawa kebenaran solat Jumaat berkuat kuasa mulai 4 Julai, selaras dengan Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003, dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri.

“Kebenaran ini adalah bersifat sementara sehingga dibatalkan secara rasmi oleh pihak jabatan. Solat Jumaat hendaklah didirikan secara berterusan, dan tidak disunatkan mendirikan solat Tahiyyatul Masjid atau beriktikaf di surau ini,” jelas beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa apabila terdapat sekurang-kurangnya 40 jemaah lelaki di kawasan R&R, maka solat Jumaat menjadi wajib untuk ditunaikan di situ. Jawatankuasa surau juga akan terus tertakluk kepada arahan dan garis panduan pihak berkuasa agama negeri dari semasa ke semasa.

SUMBER : SinarHarian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD