BMW Group Malaysia telah melancarkan dua model baharu iaitu BMW iX xDrive60 M Sport Pro versi elektrik sepenuhnya dan BMW X5 xDrive40i M Sport pemasangan tempatan (CKD) dalam acara khas The Art of Driving 2025.
Pengarah Urusan Benjamin Nagel menyatakan bahawa BMW bukan sahaja ingin menawarkan kemewahan, tetapi juga kebebasan untuk memilih, sama ada enjin elektrik atau petrol. Beliau menekankan bahawa gabungan inovasi, kelestarian dan lebih 50 tahun pengalaman BMW di Malaysia terus membentuk imej premium mereka.
Model baharu BMW iX termasuk xDrive60 M Sport Pro dan xDrive45 Sport tampil dengan reka bentuk yang lebih sporty, bateri lebih besar, prestasi lebih tinggi dan teknologi terkini.
BMW iX xDrive60 menawarkan sehingga 544 hp dan jarak perjalanan 701 km, manakala xDrive45 pula berkuasa 408 hp dengan jarak 602 km. Kedua-duanya menyokong pengecasan pantas, memiliki kabin mewah, sistem digital canggih dan ciri keselamatan lengkap.
BMW X5 xDrive40i M Sport pula hadir dengan reka bentuk diperbaharui, termasuk gril ikonik yang bercahaya, lampu LED lebih nipis, gaya lebih sporty dan teknologi dipertingkat. Ia dikuasakan oleh enjin mild-hybrid 3.0L enam silinder sebaris yang menjana 381 hp dan 540 Nm tork.
SUV ini mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam 5.4 saat, dan menawarkan kabin mewah dengan paparan digital melengkung, sistem bunyi Harman Kardon, serta pelbagai ciri bantuan pemanduan lanjutan.
Kedua-dua model iX dan X5 dilengkapi dengan BMW Digital Key Plus yang membolehkan akses mudah dan selamat menggunakan telefon pintar. Pelanggan juga boleh memilih dari pelbagai warna luaran dan dalaman mengikut citarasa masing-masing.
BMW turut menawarkan pakej penjagaan lengkap di bawah program “Relax. We Care.” yang merangkumi pemantauan kenderaan masa nyata, kemas kini perisian secara dalam talian, bantuan kecemasan 24/7, jaminan lanjutan dan pakej servis sehingga 6 tahun bergantung kepada jenis kenderaan.
Berikut adalah harga rasmi (atas jalan tanpa insurans):
BMW iX xDrive45 Sport : RM425,800
BMW iX xDrive60 M Sport Pro : RM487,800
BMW X5 xDrive50e M Sport : RM486,800
BMW X5 xDrive 40i M Sport : RM469,800