Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan bahawa kerjasama strategik antara Geely dan Proton merupakan faktor utama kejayaan Proton kembali mencatat keuntungan, menurut laporan Malaysiakini.
Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen PN-Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, beliau menyatakan bahawa Proton mengalami kerugian antara tahun 2012 hingga 2016. Namun, selepas menjalin kerjasama dengan Geely pada 2017, syarikat itu mula menunjukkan prestasi kewangan yang lebih baik. Kini, Geely memegang 49.9% kepentingan dalam Proton.
Kerjasama ini membolehkan Proton menerima pemindahan teknologi penting daripada Geely, termasuk penggunaan platform automotif moden, enjin cekap tenaga, dan sistem elektrifikasi, yang telah meningkatkan kualiti model kenderaan mereka.
Hasilnya, jualan Proton meningkat dua kali ganda, daripada 71,000 unit pada 2016 kepada lebih 152,000 unit menjelang 2025. Pegangan pasaran Proton juga naik dari 12.5% pada 2016 kepada kira-kira 18.7% pada 2024, didorong oleh model-model baru seperti X70, X50, X90 dan S70 yang lebih berdaya saing dari segi teknologi, reka bentuk dan harga.
Zafrul turut memaklumkan bahawa dua model EV Geely sedang dalam proses pemasangan secara tempatan. Salah satunya ialah eMas 7, yang akan dipasang di kilang EV baharu Proton di Tanjong Malim yang dijangka siap akhir 2025. Model kedua masih belum diumumkan secara rasmi, tetapi dijangka merupakan eMas 5, iaitu EV kompak yang kini sedang menjalani ujian intensif.
Kerjasama ini juga berjaya meningkatkan eksport kenderaan Proton sebanyak 316% — dari 1,145 unit pada 2018 kepada 4,765 unit pada 2024. Kenderaan Proton kini dieksport ke negara seperti Pakistan, Brunei, Nepal, Trinidad and Tobago, Bangladesh, Mauritius dan Afrika Selatan.
Setakat ini, pelaburan Proton hasil kerjasama dengan Geely dianggarkan melebihi RM4.71 bilion. Pelaburan ini meliputi pembangunan kilang EV, barisan stamping baharu, fasiliti pemasangan sistem kuasa, teknologi pengeluaran, latihan tenaga kerja dan R&D untuk produk serta teknologi masa hadapan.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?