Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sedang menyiasat satu gambar yang tular memaparkan sebuah kereta mewah bernombor pendaftaran Singapura mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Iskandar Puteri.
Menurut Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, pihaknya telah memulakan siasatan selepas gambar tersebut mula dikongsi secara meluas di media sosial sejak semalam.
“KPDN Johor maklum mengenai penularan gambar kenderaan dipercayai milik warga Singapura sedang mengisi RON95 di sebuah stesen minyak di Johor Bahru. Kami sedang mengenal pasti lokasi kejadian serta menilai sama ada berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya ketika dihubungi.
Difahamkan, pemilik kenderaan itu bukan sahaja mengisi petrol RON95 ke dalam tangki kenderaan, tetapi turut dilihat mengisinya ke dalam sebuah botol plastik besar, dipercayai di stesen minyak di Iskandar Puteri, lapor Berita Harian.
Lilis Saslinda menegaskan bahawa larangan menjual RON95 kepada kenderaan asing masih berkuat kuasa. Sekiranya berlaku pelanggaran, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Tindakan akan diambil jika siasatan mendapati berlaku kesalahan, termasuk terhadap pengusaha stesen minyak sekiranya mereka cuai atau bersubahat,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan semua pengusaha stesen minyak agar sentiasa mematuhi garis panduan kerajaan berkaitan penjualan bahan api bersubsidi.
KPDN Johor turut menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat sekiranya melihat pelanggaran larangan penjualan RON95 kepada kenderaan asing, bagi membantu siasatan.