NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Tiga Sekeluarga Terselamat Dalam Insiden Pokok Hempap Kereta Di Seri Iskandar

Tiga Sekeluarga Terselamat Dalam Insiden Pokok Hempap Kereta Di Seri Iskandar

Detik cemas menyelubungi sepasang suami isteri dan bayi mereka yang berusia 10 bulan apabila kereta yang dinaiki dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Ipoh-Lumut, petang semalam.

Menurut Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Shazlean Mohd Hanafiah, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6 petang sebelum mengerahkan 17 anggota ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, kami mendapati sebuah Perodua Bezza telah dihempap sebatang pokok besar yang tumbang dan menghempap bahagian tengah kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, seorang lelaki yang memandu kereta tersebut terperangkap di bahagian pemandu, manakala seorang wanita berada di tempat duduk belakang. Bayi pasangan itu bagaimanapun berjaya dikeluarkan lebih awal oleh orang awam yang berada berhampiran.

Anggota bomba menggunakan peralatan khas seperti gergaji rantai dan Rescue Cutter untuk memotong dahan serta batang pokok sebelum mengeluarkan kedua-dua mangsa dewasa yang masing-masing berusia 37 dan 31 tahun.

“Kedua-duanya tidak mengalami kecederaan serius tetapi mengadu sakit di bahagian kaki dan telah dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Bayi pasangan itu turut diserahkan kepada ahli keluarga mereka yang berada di lokasi semasa kejadian.

Sumber: Astro Awani

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy