Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar secara wajib untuk semua pemandu dan penumpang kenderaan persendirian di seluruh negara.
Buat masa ini, JPJ memberi tumpuan kepada kempen kesedaran penggunaan tali pinggang keledar melalui inisiatif “Klik Sebelum Gerak”. Bagaimanapun, menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, penguatkuasaan akan bermula tidak lama lagi walaupun tarikh tepat belum diumumkan.
Kempen “Klik Sebelum Gerak” yang dilancarkan semalam bertujuan memperkukuh budaya keselamatan jalan raya serta menekankan kepentingan pemakaian tali pinggang keledar untuk semua penumpang, bukan hanya pemandu.
“Kita akan umumkan tarikh penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang kenderaan persendirian tidak lama lagi. Buat masa ini, kita mulakan dengan kempen terlebih dahulu,” katanya pada sidang media semalam.
Mereka yang ingkar boleh dikenakan denda sehingga RM300.
Undang-undang mewajibkan pemandu dan penumpang hadapan memakai tali pinggang keledar telah dikuatkuasakan sejak 1978, sebelum dipinda pada 2009 untuk turut melibatkan penumpang belakang. Namun, kenderaan yang didaftarkan sebelum 1995 atau tidak mempunyai soket khas untuk tali pinggang keledar dikecualikan.
Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati pemakaian tali pinggang keledar mampu mengurangkan risiko kematian penumpang sehingga 50% dalam kemalangan.
“JPJ akan terus melaksanakan program advokasi, menyalurkan maklumat melalui pelbagai saluran serta menjalankan pemeriksaan berkala bagi memastikan tahap pematuhan yang tinggi,” jelas Aedy Fadly.
Beliau turut memaklumkan, sejak 1 Julai lalu, penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar telah bermula untuk pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran. Langkah ini diwajibkan ke atas bas yang dikeluarkan selepas Januari 2020, manakala bas lebih lama diberi tempoh untuk memasang kemudahan tali pinggang keledar. – The Star
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?