Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mula menguatkuasakan pemakaian tali pinggang keledar secara mandatori ke atas semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran berkuat kuasa 1 Julai ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, memaklumkan bahawa penguatkuasaan ini akan melibatkan semua bas yang dibina selepas Januari 2020. Bagi bas yang dibina sebelum tarikh tersebut, pengendali akan diberikan tempoh tertentu untuk melakukan pemasangan tali pinggang keledar.
Menurut beliau, pemandu bertanggungjawab memastikan setiap penumpang memakai tali pinggang keledar sebelum kenderaan mula bergerak. Kegagalan untuk berbuat demikian akan mengakibatkan saman sebanyak RM300 terhadap individu yang melanggar peraturan.
“Sebelum ini JPJ mengambil pendekatan advokasi dan kesedaran, namun mulai 1 Julai, penguatkuasaan akan dilakukan secara tegas. Pemandu dan syarikat pengendali juga boleh dikenakan tindakan jika gagal mengingatkan penumpang berkenaan pemakaian tali pinggang keledar,” jelas beliau.
Tambahnya, sekiranya pemandu telah memberi peringatan tetapi penumpang masih ingkar, hanya penumpang tersebut akan disaman. Bagaimanapun, tindakan hanya akan diambil selepas semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dibuat sebagai bukti.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Setia JPJ Malaysia di sini semalam.
JPJ juga telah mengadakan pertemuan dan sesi libat urus bersama syarikat pengendali bas bagi memastikan pemahaman yang jelas terhadap garis panduan yang dikeluarkan.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran peraturan selepas ini. Oleh itu, semua pengendali dan penumpang diminta mematuhi arahan yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama,” tegasnya lagi.
SUMBER: BeritaHarian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?