Keselamatan jalan raya sekali lagi jadi topik hangat apabila kerajaan bercadang untuk mempromosikan penggunaan teknologi Blind Spot Detection (BSD) pada kenderaan di Malaysia. Langkah ini menerima sokongan penuh daripada pakar keselamatan jalan raya, termasuk Presiden Road Safety Marshal Club, Kapten Bala.
“To be seen is to be safe,” tegas Kapten Bala, yang percaya teknologi BSD mampu menyelamatkan nyawa, khususnya penunggang motosikal yang sering menjadi mangsa ‘blind spot’. Beliau merujuk kepada insiden tragis baru-baru ini apabila seorang ibu maut selepas motosikalnya dilanggar di kawasan titik buta sebuah kenderaan.
BSD berfungsi melalui sensor radar atau kamera yang mengesan kenderaan di sisi atau belakang, sebelum memberi amaran kepada pemandu menerusi lampu berkelip di cermin sisi atau bunyi amaran. Jika pemandu cuba menukar lorong, amaran tersebut akan jadi lebih jelas.
Walaupun teknologi ini sudah masuk pasaran tempatan sejak 2017, penggunaannya masih terhad pada kereta mewah atau model premium. Sedangkan menurut statistik, hampir 70% daripada lebih 5,900 kematian jalan raya tahun lalu melibatkan penunggang motosikal.
Pakar keselamatan jalan raya, termasuk dari UPM dan UKM, menegaskan sudah tiba masanya BSD diwajibkan pada kenderaan komersial seperti lori dan bas. Mereka juga mencadangkan insentif diberikan untuk retrofit sistem BSD pada kenderaan lama, selain menghasilkan versi lebih murah dan mesra pasaran tempatan.
“Dengan teknologi BSD, kadar kemalangan akibat pertukaran lorong boleh dikurangkan sehingga 14%,” kata Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari UKM, yang juga penunggang motosikal tegar.
Sementara itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) memaklumkan BSD sedang dinilai di bawah Asean NCAP, sekali gus membuka jalan untuk ia dijadikan syarat keselamatan wajib pada kenderaan baharu di rantau ini. – The Star