Seorang wanita warga Indonesia maut dalam insiden tragis apabila motosikal yang ditunggang suaminya bergesel dengan treler sebelum terjatuh di Jalan Pelabuhan Barat, Klang, tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.20 tengah hari ketika lelaki tempatan itu menunggang motosikal jenis SM Sport 110R bersama isterinya dan anak perempuan mereka berusia 10 tahun dari arah Pulau Indah menuju ke Klang.
“Siasatan awal mendapati motosikal berkenaan cuba menyelit di antara beberapa kenderaan berat sebelum bergesel dengan sebuah treler dan terjatuh di tengah jalan. Akibatnya, treler terbabit tidak sempat mengelak lalu menggilis isteri penunggang berkenaan,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk proses bedah siasat. Suami dan anak mereka pula hanya mengalami kecederaan ringan serta menerima rawatan di hospital sama, manakala pemandu treler tidak cedera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis turut menasihati pengguna jalan raya, khususnya penunggang motosikal, agar sentiasa berhati-hati dan fokus ketika menunggang.
Terdahulu, rakaman berdurasi 1 minit 30 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial yang memaparkan detik mangsa digilis, selain memperlihatkan suami mangsa mengalihkan jasad isterinya serta anak mereka dari jalan, manakala pemandu treler kelihatan terkejut dengan insiden berkenaan. – Kosmo!
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?