Polis sedang menyiasat insiden melibatkan sebuah pikap trak jenama Isuzu yang tular di media sosial selepas didapati memaparkan pelekat bertulisan bahasa Hebrew, dipercayai membawa maksud “Malaysia di tangan kami.”
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar, berkata pihaknya telah mengenal pasti pemandu kenderaan tersebut, yang disahkan sebagai warga tempatan, namun tangkapan masih belum dibuat setakat ini.
“Individu terbabit sudah dikenal pasti dan merupakan warga tempatan. Buat masa ini, siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Terdahulu, video berdurasi 14 saat memaparkan sebuah Isuzu pacuan empat roda dengan pelekat tulisan Hebrew di bahagian badan kenderaan tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi netizen.
Menurut Dzulkhairi, hasil semakan mendapati kenderaan itu berdaftar atas nama seorang lelaki beralamat di Gemencheh, Negeri Sembilan.
Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.32 petang semalam daripada seorang lelaki yang juga pegawai khas agama kepada Ketua Menteri Melaka, selepas beliau melihat video tular berkenaan.
“Berdasarkan laporan diterima, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan atau perbuatan yang boleh menimbulkan ketakutan serta kegentaran awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan telekomunikasi.