Kemalangan EV Lebih Rumit dan Mahal: PIAM Dedah Cabaran Baharu Industri Insurans

Industri insurans kini berdepan cabaran baharu seiring peningkatan pesat penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia, dengan kemalangan melibatkan EV dilaporkan jauh lebih kompleks dan mahal untuk ditangani berbanding kenderaan konvensional. Dalam beberapa kes, kerosakan yang dialami terlalu serius sehingga kenderaan tidak lagi boleh dibaiki.

Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) berkata, situasi ini menggambarkan realiti baharu yang perlu dihadapi oleh penyedia insurans, termasuk peningkatan kos pembaikan serta keperluan terhadap standard keselamatan dan teknikal yang lebih ketat.

Dalam separuh pertama tahun ini sahaja, jualan EV melonjak sebanyak 91.4 peratus, merangkumi 3.4 peratus daripada jumlah keseluruhan jualan kenderaan baharu, menandakan perubahan ketara ke arah mobiliti hijau di Malaysia. Peningkatan ini didorong oleh pengecualian duti import dan eksais yang dijangka tamat pada tahun 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Chua Kim Soon, berkata walaupun peningkatan jualan EV merupakan langkah positif ke arah kelestarian alam sekitar, ia turut menonjolkan keperluan mendesak bagi pihak insurans untuk menyesuaikan diri dengan risiko serta realiti operasi baharu.

“EV dan kenderaan hibrid berkembang pesat disebabkan pengecualian cukai yang akan tamat pada 2025. Namun, EV mempunyai ciri dan struktur berbeza berbanding kereta biasa, termasuk cara ia dibaiki dan kadar susut nilainya. Ini memerlukan pendekatan baharu dalam penilaian risiko,” jelasnya.

Menurut Chua, data daripada pasaran EV yang lebih matang seperti China menunjukkan bahawa apabila EV semakin berusia, corak pemanduan berubah, nilai kenderaan merosot lebih cepat dan kos pembaikan meningkat disebabkan kerumitan sistemnya.

“Jika kemalangan berlaku di bahagian tertentu pada kereta, ada kemungkinan ia tidak boleh dibaiki langsung,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia perlu membangunkan rangkaian pusat pembaikan bateri EV yang menyeluruh.

PIAM kini bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi menubuhkan piawaian dan keperluan pematuhan khusus untuk bengkel EV yang memerlukan kepakaran jurutera elektrik serta pematuhan ketat terhadap protokol keselamatan.

“Bukan semua mekanik boleh baiki EV. Ia memerlukan latihan dan kemahiran khas dan jika dilakukan secara salah, boleh mengundang bahaya,” tegas Chua.

Buat masa ini, Malaysia masih berada dalam fasa liberalisasi berperingkat bagi insurans motor, menjadikan kadar premium EV masih terkawal. Namun, di pasaran antarabangsa yang lebih terbuka, kos insurans EV dilaporkan jauh lebih tinggi kerana risiko serta kos pembaikan yang meningkat.

“Situasi itu belum berlaku di sini, dan kami sedang berusaha mengekalkan kadar premium agar kekal berpatutan. Tapi hakikatnya, di negara lain, insurans EV memang jauh lebih mahal,” katanya. – New Straits Times

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD