RUU Sewa Beli (Pindaan) 2025 Diluluskan: Kadar Faedah Kini Dihitung Berdasarkan Baki Pinjaman

Dewan Rakyat semalam telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Sewa Beli (Pindaan) 2025, yang antara lain memansuhkan penggunaan kadar faedah sama rata dan kaedah Peraturan 78 bagi pinjaman sewa beli kadar tetap.

RUU berkenaan diluluskan dengan lebih banyak suara bersetuju selepas perbahasan oleh 20 Ahli Parlimen daripada kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali ketika menggulung perbahasan berkata, pemansuhan sistem kadar rata dan Peraturan 78 dibuat kerana ia dianggap tidak adil serta membebankan peminjam, terutama mereka yang ingin membuat penyelesaian awal pinjaman.

Sebagai langkah penambahbaikan, kerajaan akan memperkenalkan kadar faedah efektif dan kaedah pengurangan baki bagi memastikan pengiraan ansuran bulanan lebih adil dan telus.

“Pendekatan baharu ini akan memastikan caj faedah dikenakan hanya ke atas baki pinjaman yang belum dijelaskan, bukannya dibayar lebih awal seperti sistem lama. Ini akan membantu pengguna merancang kewangan dengan lebih baik serta mengelak caj tersembunyi,” jelas beliau di Dewan Rakyat.

Menurut Armizan, kadar faedah efektif turut meningkatkan ketelusan dalam penilaian dan pemasaran pinjaman sewa beli, sekali gus membolehkan pengguna membandingkan pelbagai pakej pinjaman dengan lebih tepat.

RUU berkenaan juga membolehkan penggunaan teknologi semasa dalam pelaksanaan serta pengemaskinian perjanjian sewa beli, selain memperkenalkan pindaan terhadap Seksyen 6B berkaitan pengiraan caj terma.

Melalui pindaan itu, pemilik kenderaan diwajibkan memaklumkan penyewa tentang sebarang perubahan kadar faedah efektif dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Ahli Parlimen dari kedua-dua pihak menyatakan sokongan terhadap pindaan tersebut yang dianggap lebih adil kepada pengguna.

Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mencadangkan agar perlindungan pengguna diperkukuh dengan mewajibkan pendedahan kos sebenar pinjaman, serta mencadangkan pelaksanaan moratorium automatik bagi golongan M40 dan B40 ketika krisis seperti bencana atau kehilangan pekerjaan.

Sementara itu, Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) pula mencadangkan agar satu bahagian khas berkaitan sewa beli Islam dimasukkan dalam RUU bagi memastikan penyelarasan antara transaksi konvensional dan patuh syariah, sekali gus mengelakkan unsur riba dalam perjanjian pinjaman untuk pengguna Islam. – Bernama

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD