Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) memperkenalkan Golf GTI Sepang Edition — edisi istimewa pertama yang menampilkan logo rasmi Sepang International Circuit (SIC), sekali gus menjadi model pertama hasil kolaborasi antara Volkswagen Malaysia dan SIC. Volkswagen Golf GTI Sepang Edition ini djual pada harga bermula RM264,012 (atas jalan tanpa insurans).
Pelancaran ini bukan sekadar memperkenalkan sebuah kereta baharu, tetapi satu penghormatan kepada warisan sukan permotoran negara yang membawa semangat dan adrenalin litar Sepang terus ke jalan raya Malaysia. Edisi khas ini melambangkan semangat kebangsaan, minat terhadap pemanduan berprestasi tinggi, serta keseimbangan antara gaya hidup harian dan jiwa perlumbaan.
Sejak sekian lama, SIC menjadi ikon kelajuan di Malaysia — pentas untuk perlumbaan Formula 1, MotoGP dan pelbagai kejuaraan antarabangsa. Kini, semangat sama diterjemahkan ke dalam Golf GTI Sepang Edition, sebuah model yang dicipta khas untuk peminat automotif yang menghargai kelajuan dan identiti nasional.
Bersempena pelancaran ini, VPCM turut mengumumkan promosi eksklusif 10.10 Sale. Bagi 10 unit pertama yang didaftarkan antara 9 hingga 16 Oktober, pembeli akan menikmati faedah pinjaman tanpa faedah selama 10 bulan.
Dipasang sepenuhnya di dalam negara, Golf GTI Sepang Edition tampil dengan rekaan berinspirasikan litar lumba dan sentuhan eksklusif seperti emblem “Sepang Edition” pada bahagian belakang dan tiang-B, rim aloi Richmond 18 inci berwarna Gunmetal Grey Matte, serta aksen hitam pada bumbung, spoiler dan diffuser belakang yang menyerlahkan gaya sporty.
Selain itu, model ini turut dilengkapi dengan Universal Traffic Recorder 2.0 hadapan dan belakang, pelindung cermin original VW Tint, serta sijil pengesahan keaslian — menjadikannya benar-benar istimewa. Ia boleh didapati dalam dua warna menarik iaitu Atlantic Blue dan King’s Red.
Walaupun tampil dengan imej baharu, jantung Golf GTI tetap kekal dengan enjin 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 245 PS dan 370 Nm tork, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik (klac basah) tujuh kelajuan, bagi memacu sepenuhnya roda hadapan.
Volkswagen Golf GTI Sepang Edition hadir bersama pakej jaminan lengkap — penyelenggaraan percuma selama 7 tahun, jaminan tanpa had perbatuan selama 5 tahun, dan bantuan tepi jalan percuma 5 tahun melalui Volkswagen Assurance Package.
Model eksklusif ini hanya ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Untuk maklumat lanjut atau tempahan, layari www.volkswagen.com.my atau kunjungi pengedar sah Volkswagen berhampiran.