Pemandu Warga Asing Ditahan, Guna Kereta Persendirian Tanpa Lesen Untuk Bawa Pelancong

Pemandu Warga Asing Ditahan, Guna Kereta Persendirian Tanpa Lesen Untuk Bawa Pelancong

Kegiatan warga asing yang menawarkan pakej pelancongan tidak sah, termasuk pengangkutan dan penginapan, dikesan semakin berleluasa di ibu negara. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur menahan 10 kenderaan dalam Operasi Fokus (Prebet Sapu) di sekitar Bukit Bintang, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail pada Sabtu lalu.

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, kumpulan ini menukar warna dan cat kereta persendirian supaya kelihatan seperti van pelancong untuk menarik pelanggan di kawasan hotel.

“Hasil pemeriksaan mendapati 35 pelancong asing dari pelbagai negara termasuk China, Kanada dan India menggunakan khidmat ini. Ada yang membayar sehingga RM2,100 untuk pakej ke Melaka termasuk penginapan,” katanya.

Beliau berkata, ada pemandu yang tiada lesen memandu sah, termasuk seorang lelaki warga Yemen yang membawa pelancong menggunakan kereta isterinya yang merupakan seorang wanita tempatan.

Sebanyak 26 saman telah dikeluarkan dan kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Hamidi turut menasihatkan pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan warga asing memandu tanpa lesen bagi tujuan komersial.

“Hasil siasatan juga mendapati ada yang menerima upah sekitar RM3,000 sebulan sebagai pemandu pelancong haram. Kami akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi menjaga keselamatan pengguna dan integriti sistem pengangkutan negara,” katanya.

Sumber: KOSMO!

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD