SAIC Motor Malaysia hari ini telah mengumumkan rancangan untuk memulakan pemasangan tempatan (CKD) bagi kenderaan MG di Malaysia menjelang separuh pertama tahun 2026.
Sejak dilancarkan lebih setahun lalu, SAIC Motor Malaysia telah berkembang pesat dengan 26 pusat pengedaran MG di seluruh negara, termasuk tiga di Sarawak dan tiga lagi bakal dibuka tidak lama lagi.
Barisan model MG kini merangkumi MGS5 EV serba elektrik, selaras dengan peralihan syarikat ke arah mobiliti tenaga hijau. Model MG Cyberster turut mencatat sambutan luar biasa sehingga menjadikan Malaysia pasaran terbaik MG di rantau Asia dan Oceania.

Pemasangan tempatan MG akan dijalankan di kilang EPMB di Melaka, yang bakal mengeluarkan pelbagai jenis kenderaan seperti kenderaan elektrik bateri (BEV), hibrid elektrik (HEV) dan enjin pembakaran dalaman (ICE) di bawah satu bumbung.
Fokus utama pelan ini tertumpu kepada tiga aspek penting iaitu harga mampu milik, penghantaran pantas, dan tahap lokalisasi lebih tinggi, sejajar dengan visi SAIC Motor terhadap peta jalan kenderaan tenaga hijau yang diperkenalkan di Shanghai Auto 2025.
Menurut En. Hamidon Abdullah, Pengerusi Eksekutif EPMB, kerjasama ini turut membuka peluang untuk memperkukuh rantaian pembekal tempatan, termasuk dalam perakitan pek bateri untuk kenderaan MG.
“MG akan menjadi kenderaan elektrik pertama yang dipasang di kilang Melaka kami. Kerjasama ini akan mempercepatkan proses lokalisasi dan meningkatkan nilai pasaran tempatan,” katanya.
SAIC Motor Malaysia turut menekankan bahawa kedudukan strategik Malaysia dalam ASEAN serta hubungan erat selama 50 tahun antara Malaysia dan China menjadi faktor utama pemilihan negara ini sebagai tapak pemasangan serantau.
Pelaburan ini dijangka bukan sahaja mencipta peluang pekerjaan, malah mengukuhkan ekosistem vendor automotif dan membuka laluan ke arah pembangunan penyelidikan dan inovasi automotif di masa depan.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?