GEORGE TOWN – Seorang warga emas maut dalam kejadian ngeri apabila kereta yang dipandunya dipercayai terbabas lalu memasuki tapak kerja pemasangan kabel elektrik di Jalan Thean Teik, Ayer Itam, pagi tadi.
Dalam insiden kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa, Lim Soon Teik, 67, yang merupakan penduduk Paya Terubong, dilaporkan mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Toyota Vios dipandu mangsa memasuki laluan yang telah ditutup kepada pengguna jalan raya bagi tujuan kerja pemasangan kabel elektrik. Kenderaan tersebut kemudian terperosok ke dalam sebuah lubang di kawasan tapak projek berkenaan.
Keadaan bertambah tragis apabila sebatang besi dipercayai tercucuk dari bahagian bawah kenderaan dan menembusi hingga ke bumbung kereta.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake, mengesahkan kematian mangsa dan memaklumkan pihak polis akan mengeluarkan kenyataan media rasmi berhubung kejadian itu dalam masa terdekat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.37 pagi.
Menurutnya, operasi menyelamat melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong yang diketuai oleh Komander Operasi Zurizan Mohd Yusof.
“Pasukan bomba menjalankan kerja mengeluarkan mangsa sebelum kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.05 pagi.
Sumber: Harian Metro
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?