NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Anthony Joshua Cedera Ringan, Dua Ahli Pasukan Maut Dalam Nahas Di Nigeria

Anthony Joshua Cedera Ringan, Dua Ahli Pasukan Maut Dalam Nahas Di Nigeria

Bekas juara dunia tinju heavyweight Britain, Anthony Joshua, terselamat dalam satu kemalangan jalan raya di Ogun, Nigeria, namun tragedi itu meragut nyawa dua rakan karibnya yang juga ahli pasukan sokongan.

Menurut penganjur Matchroom Boxing, kemalangan berkenaan melibatkan kenderaan yang dinaiki Joshua dengan sebuah lagi kenderaan di Lebuhraya Lagos–Ibadan. Joshua yang kini berusia 36 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Polis Ogun mengesahkan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala Kor Keselamatan Jalan Raya Persekutuan Nigeria (FRSC) memaklumkan seramai lima lelaki terlibat dalam kemalangan tersebut.

Dalam satu kenyataan rasmi, Matchroom Boxing mengesahkan dua rakan rapat Joshua, Sina Ghami dan Latif Ayodele, meninggal dunia di tempat kejadian. Joshua pula dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan masih dipantau oleh pasukan perubatan.

Presiden Nigeria, Bola Tinubu, turut menyampaikan ucapan takziah kepada Joshua serta keluarga mangsa, sambil menyifatkan insiden itu sebagai satu kemalangan tragis yang amat menyayat hati.

FRSC dalam kenyataan awalnya berkata, siasatan mendapati kenderaan terbabit dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan ketika memotong, lalu melanggar sebuah lori yang diletakkan di bahu jalan. Agensi itu menegaskan kelajuan berlebihan dan memotong secara berbahaya antara punca utama kemalangan maut di lebuh raya negara itu.

Setakat ini, pihak berkuasa masih belum mengesahkan siapa yang memandu kenderaan dinaiki Joshua ketika insiden berlaku.

Joshua yang berdarah campuran British-Nigeria dilahirkan di Britain dan pernah menghabiskan zaman persekolahannya di Ikenne, Nigeria, sebelum kembali ke Britain pada usia 12 tahun.

Kemalangan tersebut berlaku tidak lama selepas kejayaannya menewaskan bintang media sosial Amerika Syarikat, Jake Paul, menerusi kemenangan knockout pada pusingan keenam dalam perlawanan di Miami.

Jake Paul turut menzahirkan ucapan takziah melalui platform X, sambil mendoakan mangsa yang terkorban serta semua pihak yang terkesan dengan tragedi itu.

Joshua dijangka kembali aktif di gelanggang selepas berehat selama 15 bulan dan sedang dikaitkan dengan pertarungan besar menentang seteru lamanya dari Britain, Tyson Fury, pada tahun 2026.

Sumber: Harian Metro

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy