Kalau dulu kita rasa isu berat badan berlebihan ini hanya masalah di negara Barat, kini realitinya sudah berubah. Malaysia kini berada dalam zon bahaya apabila laporan antarabangsa terbaru mendedahkan krisis obesiti kanak-kanak dalam negara sedang meningkat pada kadar yang sangat membimbangkan.
Menurut laporan World Obesity Atlas 2026, lebih 2.85 juta kanak-kanak dan remaja Malaysia berusia 5 hingga 19 tahun dilaporkan mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti pada tahun 2025. Apa yang lebih menakutkan, angka ini bukan sekadar tentang rupa fizikal, tetapi ia adalah bom jangka untuk kesihatan generasi masa depan kita.
Jangan terkejut jika anak-anak kita seawal usia belasan tahun sudah mula menunjukkan tanda-tanda penyakit kronik. Menjelang tahun 2040, dianggarkan seramai 305,000 kanak-kanak di Malaysia mungkin menghidap hipertensi (darah tinggi), manakala 382,000 lagi berisiko mengalami tanda-tanda penyakit jantung.
Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Obesiti Sedunia, Johanna Ralston, menyifatkan peningkatan ini sebagai satu kegagalan kolektif dalam menangani penyakit yang kini menjejaskan satu daripada lima kanak-kanak di seluruh dunia.
“Kerajaan perlu segera mempertingkatkan usaha pencegahan dan pengurusan untuk kanak-kanak yang hidup dengan berat badan berlebihan, serta memastikan mereka mendapat penjagaan yang diperlukan,” tegas Ralston dalam laporan tersebut.
Puncanya bukan sekadar kuat makan. Gaya hidup moden di Malaysia yang sibuk, rutin sekolah yang panjang, serta lambakan makanan segera dan minuman manis yang murah menjadi faktor utama. Ditambah pula dengan screen time yang tinggi dan kurangnya aktiviti fizikal, rutin harian anak-anak kini jauh berbeza dengan zaman aktif ibu bapa mereka dahulu.
Simón Barquera dan Johanna Ralston daripada Persekutuan Obesiti Sedunia turut memberi amaran keras, “Tanpa tindakan segera, kadar obesiti yang meningkat akan memberi tekanan besar kepada sistem kesihatan, komuniti, dan generasi akan datang.”
Walaupun polisi kerajaan seperti pengawalan pemasaran makanan dan nutrisi sekolah sangat penting, pakar kesihatan berpendapat perubahan sebenar bermula dari rumah.
Di negara yang kaya dengan budaya makan seperti Malaysia, memupuk pilihan makanan yang lebih sihat dan menggalakkan anak-anak bergerak aktif adalah cabaran terbesar, namun ia langkah paling kritikal untuk melindungi masa depan mereka.
Sumber: Pop Family
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?