NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Diskaun Tol Aidilfitri 2026

Diskaun Tol Aidilfitri 2026

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan diskaun tol Aidilfitri 2026.

Diskaun tol aidilfitri 2026 sebanyak 50 peratus diberikan sempena sambutan hari raya tahun ini, bagi membantu meringankan beban kos perjalanan rakyat yang pulang ke kampung halaman.

Diskaun Tol 50 Peratus Berkuat Kuasa Dua Hari

Diskaun tol 50 peratus ini akan berkuat kuasa mulai jam 12.01 tengah malam pada 18 Mac 2026 (Rabu) sehinggalah jam 11.59 malam 19 Mac 2026 (Khamis), melibatkan kenderaan persendirian Kelas 1 di semua lebuh raya di seluruh negara.

Namun terdapat pengecualian bagi dua lokasi iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia Singapura (LINKEDUA) yang tidak termasuk dalam inisiatif ini.

“Inisiatif ini membabitkan tanggungan kewangan berjumlah RM21.03 juta bagi tujuan pampasan kepada syarikat konsesi tol,” kata Anwar dalam kenyataannya.

4,000 Individu Dibebaskan Daripada Kebankrapan

Selain diskaun tol, Anwar turut mengumumkan langkah kemanusiaan lain sempena Aidilfitri ini. Kerajaan MADANI menerusi Jabatan Insolvensi Malaysia akan melaksanakan ikhtiar pelepasan kebankrapan secara fast track, membebaskan kira-kira 4,000 individu.

“Semua langkah ini adalah manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat terus menikmati manfaat daripada kemakmuran yang kita usahakan bersama,” kata Anwar.

Rakyat Diingatkan Berbelanja Berhemah

Walaupun membawa berita gembira sempena perayaan, Anwar turut mengingatkan rakyat agar terus berbelanja secara berhemah sepanjang meraikan Syawal, memandangkan keadaan ekonomi dunia yang masih tidak menentu pada masa ini.

“Semua pihak perlu mengurus kewangan secara berdisiplin sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan pada masa hadapan,” tegasnya.

Beliau turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia, dengan harapan perayaan disambut dalam suasana aman dan penuh kesyukuran bersama keluarga dan orang tersayang.

Sumber : Harian Metro

Aisyah Rafiza

Aisyah Rafiza adalah jambatan korporat utama NAZZ&CO™ Media. Sebagai Eksekutif Perhubungan Awam (PR) & Penganalisis Strategik, beliau menguruskan hubungan klien berprofil tinggi serta unjuran strategik bagi memastikan setiap visi syarikat disampaikan dengan integriti dan kejelasan mutlak kepada pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy