PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggerakkan enam buah dron berteknologi tinggi untuk mengawasi dan mengesan sebarang pelanggaran undang-undang jalan raya dari udara sepanjang tempoh Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) tahun ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, penggunaan unit dron tersebut akan difokuskan di 288 lokasi panas yang sering mencatatkan kadar kemalangan tinggi dan kesesakan luar biasa.
Lokasi tumpuan dron ini meliputi lebuh raya utama ke Pantai Timur seperti Pahang, Kelantan, dan Terengganu, selain zon selatan menuju Johor serta jaringan lebuh raya di sebelah utara.
“Pendekatan penguatkuasaan yang dipertingkat ini memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi moden serta pemantauan lebih ketat terhadap kesalahan trafik, terutama menjelang peningkatan jumlah kenderaan semasa musim perayaan.
“Dron ini dilengkapi kamera yang mampu melakukan zum hingga 200 kali, sekali gus membolehkan pegawai penguat kuasa mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan dengan jelas dari jarak jauh.
“Imej dan rakaman video yang diperoleh akan direkodkan sebagai bukti sokongan dalam siasatan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa JPJ bersama media, malam tadi.
Aedy Fadly berkata, mana-mana pemandu yang dikesan melakukan kesalahan akan diserahkan Notis Temu Siasat (Notis 114) mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, individu terlibat dikehendaki hadir ke pejabat JPJ untuk proses siasatan, dengan rakaman dron dijadikan bukti utama.
“Buat masa ini, rakaman dron hanya berfungsi sebagai bukti sokongan dan tidak digunakan untuk mengeluarkan saman secara terus, berbeza dengan kesalahan yang dikesan melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS),” katanya.
Pengawasan dari ruang udara memberi kelebihan kepada pegawai untuk memantau aliran trafik secara lebih holistik, sekali gus mengesan pelanggaran peraturan yang sering terlepas daripada pandangan pemantauan konvensional di darat.
Bagi menjamin kecekapan operasi, setiap anggota pengendali telah ditauliahkan melalui latihan intensif serta diwajibkan memiliki lesen pengendalian yang sah sebelum dibenarkan menguruskan aset tersebut.
Bagi memastikan kelancaran operasi yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 19 Mac ini, seramai 3,000 anggota JPJ telah dikerahkan ke lapangan, dengan semua kenderaan jabatan diarahkan untuk melakukan rondaan berkala di semua jalan utama dan lebuh raya strategik bagi memastikan keselamatan pengguna.
Aedly Fadly turut menegaskan kepada pengguna jalan raya supaya tidak menyalahgunakan lorong kecemasan, yang dikategorikan sebagai kesalahan serius.
Sebanyak 12,164 kes salah guna lorong kecemasan direkodkan sejak tahun 2023 sehingga Februari tahun ini dan 689 kes telah dikesan bagi tempoh dua bulan pertama tahun 2026 sahaja.
“Lorong kecemasan disediakan khusus untuk tujuan kecemasan dan tidak boleh digunakan sesuka hati,” katanya.
Sumber: Berita Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?