NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Isi RON95 Dalam Tong Plastik, KPDN Siasat Pemilik, MOF Sekat MyKad

Isi RON95 Dalam Tong Plastik, KPDN Siasat Pemilik, MOF Sekat MyKad

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor kini memburu pemilik kenderaan yang tular berikutan perbuatan isi RON95 dalam tong plastik dalam kuantiti melampau bagi siasatan lanjut.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo mengesahkan bahawa pihaknya telah bertindak proaktif melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas stesen minyak yang dikaitkan dengan insiden terbabit di sekitar Skudai, di sini.

“Kita mengambil maklum berhubung satu hantaran media sosial yang tular membabitkan sebuah kenderaan yang dipercayai mengisi petrol RON95 menggunakan tong plastik dalam kuantiti yang banyak.

“KPDN Johor juga akan mengambil tindakan susulan dengan mengesan serta memanggil pemilik kenderaan bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendedahkan pelanggaran itu berlaku pada Sabtu lalu membabitkan dua transaksi oleh pesalah terbabit, iaitu pengisian terus ke dalam tangki kereta dan satu lagi isi RON95 dalam tong plastik yang disembunyikan di ruang but kenderaan.

“Pemeriksaan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah dibuat serta penelitian terhadap rekod transaksi dan resit pembelian bagi tujuan pengesahan.

“Hasil semakan awal mendapati terdapat dua transaksi pengisian petrol RON95, iaitu satu pengisian ke dalam tangki kenderaan manakala satu lagi diisi ke dalam tong plastik di bahagian but kenderaan dengan kuantiti yang melebihi had yang dibenarkan oleh Pengawal Bekalan Malaysia.

“Dalam pemeriksaan itu, pasukan penguat kuasa KPDN sudah memberikan peringatan kepada pihak pengurusan stesen minyak supaya sentiasa mematuhi peraturan serta meningkatkan pemantauan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.

Tegas Lilis Saslinda, satu tindakan undang-undang pantas telah dimulakan di bawah Subperaturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 berikutan kesalahan ketara melanggar arahan Pengawal Bekalan Malaysia.

Jelasnya, kes perbuatan isi RON95 dalam tong plastik ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 yang memperuntukkan denda maksimum RM1 juta atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala syarikat berdepan denda sehingga RM2 juta jika disabitkan kesalahan.

Dalam perkembangan berkaitan malam tadi, Kementerian Kewangan (MOF) tampil mengeluarkan amaran keras dengan bertindak menyekat MyKad pesalah terbabit yang melakukan transaksi bahan api itu, lantas membatalkan kelayakan pemilik kenderaan berkenaan daripada terus menikmati manfaat BUDI95.

“MOF memandang serius video tular di media sosial yang memaparkan individu mengisi petrol RON95 ke dalam tong atau bekas kosong di salah sebuah stesen minyak.

“Siasatan mendapati individu terbabit adalah warganegara Malaysia dan pemegang MyKad.

“Perbuatan ini jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95 dan ini berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar dan berkesan,” jelasnya.

Menurut MOF, kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang elemen ketirisan dan penyelewengan subsidi, lebih-lebih lagi ketika ketidaktentuan ekonomi global menuntut kawalan strategik ke atas rantaian bekalan dan harga petrol negara.

Kementerian itu menegaskan, operasi penguatkuasaan akan digempur habis-habisan bagi melumpuhkan sepenuhnya aktiviti tidak bertanggungjawab berhubung perbuatan isi RON95 dalam tong plastik demi memelihara hak rakyat.

Sumber: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD