NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Subsidi Minyak Berpotensi Cecah RM10 Bilion Akibat Krisis Global

Subsidi Minyak Berpotensi Cecah RM10 Bilion Akibat Krisis Global

SHAH ALAM – Peningkatan harga minyak mentah global yang berterusan mencetuskan kebimbangan besar terhadap kedudukan ekonomi negara apabila subsidi minyak berpotensi melonjak drastik melebihi RM10 bilion bagi tempoh April dan Mei berbanding paras biasa.

Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, lonjakan luar biasa tersebut bakal menjadi kenyataan sekiranya harga minyak mentah dunia kekal melepasi paras AS$100 setong sehingga penghujung Mei ini.

Menurut beliau, situasi mencabar itu secara tidak langsung akan meningkatkan beban perbelanjaan kerajaan dalam tempoh jangka pendek.

“Meskipun Malaysia sebagai pengeksport bersih minyak berpeluang memperoleh hasil tambahan daripada kenaikan harga komoditi itu, manfaat berkenaan dijangka terhakis akibat peningkatan perbelanjaan subsidi yang lebih tinggi.”

“Keadaan ini akan memberi tekanan kepada fiskal kerajaan kerana lebihan hasil daripada minyak tidak sepenuhnya dapat menampung kenaikan kos subsidi yang perlu ditanggung.”

“Oleh itu, kerajaan disaran mengambil langkah penjimatan perbelanjaan dengan beri keutamaan hanya kepada sektor atau program kritikal,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan peruntukan subsidi kerajaan telah melambung daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu ekoran krisis di Asia Barat, membuktikan subsidi minyak berpotensi terus membebani kewangan negara.

Menjelaskan lebih lanjut, Ahmed Razman menyarankan agar struktur pemberian bantuan sedia ada diubah segera kepada kaedah yang lebih bersasar. 

Langkah ini perlu memfokuskan terus kepada kumpulan B40 dan M40, khususnya bagi keperluan barangan serta perkhidmatan asas yang kini dinikmati melalui subsidi pukal.

Jelasnya, langkah peralihan kepada subsidi bersasar berupaya meminimumkan risiko ketirisan selain memastikan agihan bantuan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar yang memerlukan.

“Pada masa sama, rakyat turut digesa memainkan peranan dengan mengamalkan perbelanjaan berhemah dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa.”

“Orang ramai disaran utamakan keperluan berbanding kehendak, selain elak hutang baharu yang boleh jejaskan kedudukan kewangan.”

“Langkah berjimat cermat secara kolektif dilihat mampu membantu mengurangkan tekanan ekonomi di peringkat isi rumah,” ujarnya.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD