NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Langkah Menangani Strok Haba

Langkah Menangani Strok Haba

KUALA LUMPUR – Strok haba perlu dipandang serius oleh orang awam, terutamanya kanak-kanak, warga emas, dan pesakit kronik yang berisiko tinggi maut akibat komplikasi tersebut.

Pakar Perubatan Keluarga Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim berkata, krisis strok haba adalah satu spektrum kritikal berpunca daripada lonjakan kepanasan melampau, yang lazimnya didahului oleh sindrom kelesuan haba yang teruk.

Jelas beliau, apabila suhu persekitaran mencanak naik, sistem tubuh secara automatik bertindak agresif untuk menurunkan suhu dalaman, memandangkan fungsi biologi hanya beroperasi secara optimum pada tahap sekitar 37 darjah Celsius.

“Lebih daripada itu, protein, enzim dan hormon dalam badan tidak berfungsi secara optimum dan akan menyebabkan organ boleh berisiko untuk gagal, seterusnya mungkin boleh membawa maut.

“Apabila suhu itu naik, badan kita akan mengalami tanda-tanda yang kita panggil kelesuan haba… Jika kita biar badan lama-lama, ia tak boleh nak menampung suhu optimum, ia akan menjadi strok haba,” katanya.

Dr Megat Mohamad Amirul menyenaraikan isyarat amaran awal strok haba yang menuntut pemantauan rapi, termasuklah lonjakan suhu badan melepasi 40 darjah Celcius, kecelaruan fungsi otak hingga menyebabkan mangsa meracau, pengsan, mahupun diserang sawan.

Sebagai langkah kecemasan, beliau menyarankan agar pakaian mangsa dilonggarkan segera, membasahkan zon kritikal seperti kepala, leher, dan ketiak, serta memindahkan mangsa ke ruang bersuhu rendah sambil memberikan minuman sejuk bagi meredakan serangan strok haba itu.

“Jika pertolongan pertama ini tidak dilakukan, maka risiko terjadinya strok haba sangat tinggi… individu akan menjadi semakin lesu dan sedikit demi sedikit organ penting dalam tubuh akan terjejas,” katanya.

Pakar itu turut memecahkan mitos lazim dengan menjelaskan bahawa mangsa yang diserang strok haba tahap kritikal tidak lagi mampu merembeskan peluh berikutan tubuh mereka telah mengalami fasa dehidrasi yang sangat parah.

“Air kencing pada mereka yang mengalami kelesuan haba dan strok haba juga berkurang atau hampir tiada kerana dehidrasi teruk akibat tiada pertolongan pertama diberikan dan ia boleh menyebabkan kerosakan organ-organ dalaman dan seterusnya boleh menyebabkan maut jika tidak diberi rawatan lanjut.

“Jika keadaan begitu, maka mereka perlu segera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa kanak-kanak dan warga emas berpenyakit kronik berdepan ancaman maut strok haba paling tinggi sekiranya terdedah kepada bahang berpanjangan, memandangkan sistem pertahanan fizikal mereka terbukti lebih rapuh berbanding orang dewasa normal.

Tambah Dr Megat Mohamad Amirul, disiplin gaya hidup dan rejim pemakanan harian bertindak sebagai perisai utama dalam mengekalkan tahap hidrasi optimum bagi menangkis impak strok haba.

“Elakkan berada di bawah panas terik terlalu lama dan kurangkan aktiviti luar rumah iaitu antara 11 pagi hingga 4 petang kerana ketika inilah cahaya matahari sangat terik dan keadaan membahang lebih mudah menyebabkan kelesuan haba.

“Selain itu, dari segi pemakanan, elakkan daripada mengambil terlalu banyak kafien dan alkohol serta makanan masin kerana ia boleh mempercepat pengurangan kadar hidrasi badan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi rutin meminum sekurang-kurangnya lapan gelas air kosong setiap hari untuk mengekalkan hidrasi.

Sumber: Harian Metro

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD