Isu kenaikan harga petrol dan diesel sering menjadi kebimbangan utama rakyat Malaysia setiap kali berlaku konflik di peringkat global yang melibatkan laluan perdagangan minyak.
Berita mengenai sebuah kapal Malaysia yang membawa sejuta tong minyak mentah dibenarkan melalui Selat Hormuz baru-baru ini sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada pasaran tempatan dan sentimen rakyat. Walau bagaimanapun, kebenaran ini dilihat hanya sebagai langkah penyelesaian jangka pendek sebelum keadaan benar-benar stabil sepenuhnya.
Pakar ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai, menjelaskan bahawa jumlah sejuta tong tersebut sebenarnya hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan keperluan bulanan negara.
Beliau menegaskan bahawa meskipun perkembangan ini merupakan satu petanda positif, ia bukanlah bukti kukuh bahawa rantaian bekalan telah kembali normal seperti sedia kala.
Stabiliti yang sebenar hanya akan tercapai sekiranya terdapat aliran penghantaran bahan mentah yang konsisten serta jaminan keselamatan yang berterusan di laluan tersebut.
Laluan Selat Hormuz tetap mempunyai risiko yang tinggi selagi konflik bersenjata, serangan, atau sekatan antarabangsa masih berlarutan di kawasan tersebut. Selain ancaman ketenteraan, faktor keselamatan pelabuhan dan aktiviti lanun juga menjadi punca mengapa kos pengangkutan minyak mentah boleh melonjak pada bila-bila masa.
Dr Barjoyai memberikan amaran bahawa jika gangguan ini berterusan, kesan kenaikan harga petrol dan diesel mungkin akan dirasai oleh rakyat dalam tempoh beberapa minggu sahaja.
Lebih membimbangkan, kenaikan kos bahan api ini akan memberikan kesan rantaian kepada harga barangan pengguna yang dijangka meningkat dalam tempoh satu hingga tiga bulan akan datang.
Peningkatan kos operasi dalam sektor pengangkutan dan pengeluaran yang terpaksa ditanggung oleh pihak industri. Oleh itu, kebergantungan kepada satu laluan atau sumber bekalan sahaja tanpa pelan sandaran yang kukuh boleh mengundang risiko inflasi yang lebih serius kepada ekonomi negara.
Bagi menghadapi kemungkinan kenaikan harga petrol yang lebih drastik, pemilik perniagaan disarankan untuk mula mengambil langkah proaktif dalam menguruskan rantaian bekalan mereka.
Dr Barjoyai menyarankan agar peniaga mencari pembekal alternatif dan meningkatkan simpanan stok bahan penting bagi mengurangkan risiko gangguan operasi sekiranya krisis global semakin meruncing. Langkah ini penting bagi memastikan kelangsungan perniagaan tanpa perlu menaikkan harga jualan secara mendadak kepada pelanggan.
Selain itu, penambahbaikan sistem logistik seperti penggabungan penghantaran dan penggunaan laluan yang lebih efisien dilihat mampu membantu mengurangkan beban kos pengangkutan.
Pihak industri juga digalakkan untuk meningkatkan kecekapan tenaga serta merundingkan semula kontrak perniagaan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran yang tidak menentu. Dengan pelaksanaan caj bahan api yang telus, peniaga dapat mengekalkan kepercayaan pelanggan sambil memastikan margin keuntungan mereka tidak terjejas dengan teruk.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?