NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive, Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Langkah Interim Diperkenal Elak Gangguan Perkhidmatan Trak Tunda

Langkah Interim Diperkenal Elak Gangguan Perkhidmatan Trak Tunda

Langkah-langkah interim telah diperkenalkan bagi menyokong pemegang polisi kenderaan di seluruh negara susulan gangguan besar dalam perkhidmatan trak tunda yang bermula sejak semalam.

Gangguan ini tercetus selepas pengusaha trak tunda melancarkan mogok selama tiga hari bagi mendesak kerajaan memberikan subsidi diesel kepada sektor tersebut.

Situasi ini dikaitkan dengan peningkatan kos operasi yang mendadak serta tekanan industri yang kini menjejaskan kelancaran bantuan kenderaan di jalan raya.

Bagi memastikan kebajikan pengguna terus terjaga, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memaklumkan bahawa syarikat-syarikat ahlinya telah mengaktifkan pelan bantuan khas untuk membantu pelanggan, terutamanya dalam situasi mendesak seperti kemalangan dan kerosakan kenderaan.

Keutamaan bantuan kecemasan akan diberikan kepada pemandu yang terkandas dalam situasi atau lokasi yang berbahaya.

Manakala bagi penundaan yang tidak kritikal di lokasi yang sudah selamat, pemegang polisi digalakkan untuk membuat penjadualan awal bagi menguruskan aliran permintaan perkhidmatan dengan lebih teratur.

Dalam satu kenyataan rasmi, pihak persatuan menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi menangani isu ini secara bersepadu.

Menurut PIAM, industri ini akan bekerjasama dengan rakan penyedia perkhidmatan, pengawal selia, pihak berkuasa dan pihak berkepentingan utama untuk mengharungi tekanan ini dan mencari jalan penyelesaian yang mampan serta seimbang pada masa hadapan.

Kerjasama ini penting memandangkan gangguan perkhidmatan tersebut berpunca daripada faktor luaran yang di luar kawalan industri insurans am.

Sebagai inisiatif tambahan, pemegang polisi kini dibenarkan untuk memanfaatkan bengkel panel bagi mendapatkan bantuan teknikal atau menggunakan perkhidmatan trak tunda bebas sekiranya khidmat panel insurans sukar diperolehi.

Pihak industri turut menawarkan bayaran balik atau reimbursement bagi penggunaan khidmat trak tunda luar tersebut, namun ia tertakluk kepada terma dan syarat polisi masing-masing.

Langkah ini diambil bagi memastikan tiada pemandu yang dibiarkan terkandas tanpa bantuan untuk tempoh yang lama sepanjang tempoh mogok berlangsung.

Gangguan perkhidmatan ini dijangka berterusan sehingga esok dengan kawasan Lembah Klang dilaporkan menjadi antara lokasi yang paling terjejas teruk.

Pihak Zurich Takaful juga telah mengeluarkan notis amaran bahawa terdapat potensi untuk gangguan ini merebak ke kawasan lain di seluruh Semenanjung Malaysia.

Oleh itu, pemegang polisi dinasihatkan supaya menghubungi syarikat insurans secara terus untuk mendapatkan maklumat terkini serta mengesahkan perlindungan mereka sebelum menggunakan mana-mana perkhidmatan trak tunda bebas.

Semua resit asal dan laporan perkhidmatan mestilah disimpan dengan teliti bagi memudahkan urusan tuntutan bayaran balik kelak.

Sumber: Berita Harian

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    2.5 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD