Pelakon terkenal, Norish Karman, berkongsi pengalaman sukar dalam hidupnya apabila pernah tinggal di dalam kereta bersama empat orang anak selama hampir dua bulan selepas melalui fasa perceraian.
Menurut Norish, situasi tersebut berlaku akibat kegagalan bekas suaminya melunaskan bayaran ansuran rumah kepada ejen hartanah, sekali gus memaksanya keluar dari kediaman yang didiami ketika itu.
“Sepatutnya bekas suami yang bayar, tetapi ada masa dia gagal. Jadi saya terpaksa tinggalkan rumah itu,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.
Dalam keadaan serba kekurangan, Norish memilih untuk menetap di dalam kereta bersama anak-anak kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar deposit rumah baharu.
“Kami tumpang mandi di gimnasium dan parkir kereta di hadapan restoran mamak 24 jam. Sekurang-kurangnya kawasan itu terang, jadi rasa lebih selamat,” jelasnya.
Tambahnya lagi, jika sukar untuk tidur, mereka akan meluangkan masa dengan makan di restoran mamak berhampiran.
Perkongsian tersebut dibuat menerusi program audio siar Legasi Podcast yang dikendalikan oleh Adlin Aman Ramlie dan Khairul Anwar Salleh.
Sepanjang tempoh mencabar itu, Norish sebenarnya menerima pelawaan daripada rakan-rakan untuk menumpang tinggal bersama mereka. Namun, beliau memilih untuk menolak tawaran tersebut demi menjaga hubungan persahabatan.
“Ada kawan ajak tinggal di rumah mereka, tetapi saya tak mahu nanti hubungan jadi tidak selesa. Saya tidak mahu terhutang budi,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinannya bahawa setiap ujian yang dihadapi mempunyai hikmah tersendiri.
“Saya percaya Allah tidak kejam. Saya yakin suatu hari nanti saya akan bangkit semula,” ujarnya.
Malah, anak-anaknya sendiri memilih untuk terus bersama ibunya walaupun diberi pilihan untuk tinggal di rumah rakan.
“Mereka tidak mahu berpisah dengan saya. Walaupun saya suruh, mereka tetap mahu teman saya,” katanya lagi.
Norish turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan anak-anak yang memahami dan tidak pernah merungut walaupun hidup dalam keadaan serba kekurangan.
“Walaupun kami hanya ada RM50 dan makan nasi dengan telur, mereka tidak pernah mengeluh,” katanya.
Menurutnya, pengalaman tersebut mungkin menjadi titik pembentukan jati diri anak-anaknya untuk menjadi individu yang lebih kuat pada masa hadapan.
“Mereka boleh pilih hidup senang, tetapi tetap memilih untuk bersama saya. Itu yang buat saya sangat bersyukur,” katanya.
Beliau juga menyifatkan anak-anak sebagai sumber kekuatan utama dalam hidupnya.
“Mereka adalah sayap dan kekuatan saya,” tambahnya.
Dalam pada itu, Norish menjelaskan bahawa beliau tidak pernah memanjakan anak-anak dengan kemewahan seperti barang kemas atau telefon bimbit.
Sebaliknya, mereka dididik untuk berdikari dan berusaha mendapatkan apa yang diinginkan.
“Mereka pandai cari duit sendiri untuk beli apa yang mereka mahu,” jelasnya.
Selain itu, anak-anaknya juga tidak pernah mempersoalkan keputusan beliau mengambil empat anak angkat, malah menerima mereka sebagai sebahagian daripada keluarga tanpa sebarang prejudis.
Menariknya, Norish memilih untuk tidak berkongsi kesulitan yang dilalui dengan ibu bapanya ketika itu.
Menurutnya, beliau tidak mahu membebankan mereka dengan kerisauan tambahan.
“Ada perkara yang kita tak perlu cerita. Bila dah dewasa, takkan semua benda nak dikongsi,” katanya.
Malah, isu perceraian juga hanya dimaklumkan kepada keluarga selepas semuanya selesai.
Selepas melalui tempoh sukar tersebut, kehidupan Norish dan anak-anak mula kembali stabil apabila beliau menceburi bidang katering.
Dengan usaha gigih, beliau berjaya mendapatkan tempahan berskala besar, mencecah antara 5,000 hingga 10,000 orang bagi satu acara.
“Saya buat promosi sendiri dan Alhamdulillah dapat job besar, cuma saya tidak terlalu hebahkan,” katanya.
Untuk rekod, Norish pernah berkahwin dengan usahawan, Hashimuddin Abdul Kadir pada tahun 1998 sebelum berpisah pada 2008. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata selain empat anak angkat yang dijaga Norish.
Sumber: Berita Harian Singapura
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?