Seorang wanita maut manakala tunangnya mengalami kecederaan selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan ngeri di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dari arah Batu Caves menghala ke Kepong, berhampiran Taman Layang-Layang, awal pagi Isnin.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi itu, mangsa yang berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian dada.
Pemandu kenderaan tersebut yang juga tunang kepada mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kini sedang menerima rawatan di wad kecemasan dan trauma Hospital Selayang.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung nahas berkenaan beberapa jam selepas kejadian.
“Kita menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada pukul 4.53 pagi,” kata beliau dalam kenyataan pada Isnin.
Siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun bersama tunangnya.
Kenderaan itu dipercayai bergerak di lorong kiri sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan.
Kereta tersebut kemudian merempuh bahagian belakang sebuah bas sekolah antarabangsa jenis Hino yang diletakkan di tepi jalan tanpa sebarang papan tanda.
Difahamkan, bas tersebut diletakkan di kawasan berkenaan kerana pemandunya tinggal berhampiran lokasi kejadian.
Bagi melengkapkan siasatan, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat.
Pihak polis turut mengambil sampel darah pemandu untuk menjalani ujian toksikologi, manakala kedua-dua kenderaan yang terlibat telah dibawa ke stor barang kes untuk pemeriksaan lanjut.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan faktor keletihan atau mengantuk menjadi punca utama nahas ini berlaku.
“Punca kemalangan masih dalam siasatan, namun dipercayai pemandu gagal mengawal kenderaan disyaki akibat mengantuk,” jelas beliau.
Kes kemalangan ini kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, pihak polis memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Sumber: Sinar Harian
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
Pencabar Baharu Tesla, Xiaomi SU7 Menerima Tempahan Sebanyak 88,898 Unit Selepas 24 Jam Dilancarkan
Tiada Lagi Pinjaman Penuh untuk Beli Kereta?