NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Destinasi Paling ‘Instagram-Worthy’ di Dunia, Menurut Tinjauan Ini

Destinasi Paling ‘Instagram-Worthy’ di Dunia, Menurut Tinjauan Ini

Sebahagian besar daripada aktiviti pelancongan bagi kebanyakan pelancong muda pada hari ini adalah untuk mencari lokasi yang “Instagrammable”.

Eminent, sebuah jenama bagasi dari Taiwan, baru-baru ini telah menjalankan satu tinjauan yang meneliti lebih daripada 50 destinasi ‘tidak diketahui ramai’ yang kerap kali dipaparkan di platform media sosial seperti Instagram.

Untuk menyusun kedudukan destinasi berkenaan, Eminent telah menganalisis beberapa faktor termasuklah: jumlah tanda pagar Instagram bagi mengukur kekerapan pelancong memuat naik foto dari setiap lokasi; volum carian Google bagi menilai minat terhadap pelancongan; jumlah pengunjung tahunan; suhu pada musim panas; bilangan aktiviti yang tersedia; ketersediaan hotel; purata kos penginapan untuk tempoh seminggu pada bulan Jun (bulan puncak bagi kebanyakan destinasi); serta penilaian daripada tetamu hotel.

Mendahului senarai tersebut ialah Puglia di Itali.

Walaupun wilayah berkenaan menarik jumlah pelancong yang lebih sedikit berbanding bandar-bandar terkenal Itali yang lain seperti Rome dan Venice, ia mempunyai lebih daripada 16 million hantaran Instagram, hasil tarikan pantai, bandar pesisir pantai serta seni binanya yang unik.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa faktor cuaca panas di Puglia, kepelbagaian aktiviti dan ketersediaan hotel turut memainkan peranan terhadap popularitinya dalam kalangan pengunjung.

Berada di kedudukan kedua ialah Okinawa di Jepun, dengan mencatatkan sekitar 14 juta tanda pagar Instagram dan volum carian Google melebihi 518,800.

Pulau tersebut terkenal dengan pemandangan tropikanya serta pilihan penginapan yang agak berpatutan berbanding bandar-bandar utama seperti Tokyo dan Kyoto.

Sementara itu, Sardinia menduduki tangga ketiga.

Dengan jumlah volum carian Google yang menghampiri 870,000, pulau terbesar di Itali itu berjaya menarik sekitar lima juta pengunjung ke pesisir pantainya. Para pelancong berkunjung ke sana demi aktiviti luar yang pelbagai serta faktor cuaca musim panas yang nyaman.

Di tempat keempat pula ialah Busan di Korea Selatan.

Ramai orang mungkin mengenali bandar pesisir pantai ini menerusi filem thriller zombi tahun 2016, Train To Busan (filem itu sendiri sebenarnya tidak menjalani penggambaran di sana).

Di sebalik pengiktirafan globalnya, Busan hanya menerima sekitar satu juta pelancong setahun. Pun begitu, ia tetap menjadi salah satu daripada “permata tersembunyi” yang paling banyak difoto di Asia.

Gdansk di Poland turut tersenarai, sebagai sebuah destinasi Eropah yang lebih mampu milik berbanding Prague (Republik Czech) dan Vienna (Austria).

Bandar pelabuhan Poland ini terkenal dengan seni bina bersejarah serta suhu musim panas yang lebih sejuk. Bagaimanapun, para pelancong mungkin perlu membuat tempahan lebih awal memandangkan terdapat kurang daripada 100 buah hotel yang tersedia pada bulan Jun, menurut laporan tersebut.

Antara destinasi lain yang berjaya menembusi senarai Top 10 termasuklah Cappadocia (Turkiye), Nara (Japan), Menorca (Sepanyol) dan La Paz (Mexico).

Semakin ramai pelancong kini mula beralih arah daripada lokasi tumpuan pelancongan yang biasa, demi mencari pengalaman yang lebih mendalam dan unik. 

Sumber: The Star

Izzah Amirah

Izzah Amirah adalah Penerbit Kandungan Gaya Hidup & Kembara yang juga bertindak sebagai 'enjin kreatif' di sebalik siri mega TERPALING TRAVEL. Beliau bertanggungjawab menterjemahkan pengalaman kembara global kepada penceritaan digital dan kewartawanan gaya hidup yang eksklusif buat pembaca.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy