Nazz Abdullah kini dibenarkan meneruskan proses pemulihan di rumah selepas menjalani beberapa siri pemeriksaan dan pemantauan di Hospital Pantai Ampang susulan mengalami serangan sakit kepala yang sangat kuat secara tiba-tiba.
Menurut kenyataan pihak pengurusan NAZZ&CO Media yang diwakili Business Development Director, Rishi Ratnam, Nazz masih belum pulih sepenuhnya dan memerlukan pemantauan kesihatan serta rawatan susulan secara berkala di hospital.
Punca sebenar serangan Severe Thunderclap Headache yang dialami Nazz juga masih belum dapat dikenal pasti, meskipun beliau telah menjalani beberapa pemeriksaan termasuk CT scan, MRI serta penilaian daripada beberapa doktor pakar.
Pihak pengurusan memaklumkan bahawa doktor telah membenarkan Nazz meneruskan proses pemulihan dan berehat di rumah, namun beliau masih perlu mengambil ubat-ubatan serta mengehadkan aktiviti buat sementara waktu.
Langkah tersebut adalah bagi membolehkan Nazz memberikan tumpuan sepenuhnya kepada proses pemulihan sebelum kembali menjalani aktiviti seperti biasa.
Dalam perkembangan sama, Nazz turut menitipkan pesanan kepada orang ramai yang mengambil berat mengenai keadaan kesihatannya.
“Saya sendiri masih belum tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada saya. Terima kasih kepada semua yang mendoakan saya. Saya mungkin belum mampu membalas setiap mesej, tetapi saya amat menghargai segala doa dan ingatan kalian.”
Pihak NAZZ&CO Media turut merakamkan penghargaan kepada keluarga, sahabat, rakan-rakan dalam industri automotif, pelanggan, pihak media serta seluruh pengikut Nazz atas ribuan doa, mesej dan sokongan yang diberikan sepanjang tempoh beliau menerima rawatan.
Penghargaan turut diberikan kepada warga Kampung Lukut, Kota Tinggi, yang telah mengadakan solat hajat beramai-ramai anjuran Lorong Amanah Satu bagi mendoakan kesembuhan Nazz.
Selain itu, orang ramai dari pelbagai tempat turut mengambil inisiatif mengadakan solat hajat serta menitipkan doa buat beliau.
Menurut pihak pengurusan, segala keprihatinan, doa dan sokongan tersebut amat bermakna buat Nazz serta seluruh keluarganya.
Dalam pada itu, operasi NAZZ&CO Media akan diteruskan seperti biasa oleh pasukan syarikat sepanjang tempoh Nazz menjalani pemulihan.
Sebarang perkembangan mengenai keadaan kesihatan Nazz yang telah disahkan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi NAZZ&CO Media apabila bersesuaian.
Buat masa ini, pihak pengurusan memohon agar orang ramai terus memberikan ruang kepada Nazz untuk berehat dan memberi tumpuan kepada proses pemulihannya.
Semoga Nazz Abdullah diberikan kesembuhan dan dipermudahkan sepanjang proses pemulihan.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?