PETALING JAYA – Malaysia Airlines terus memantapkan jaringan penerbangannya ke pasaran China melalui pengenalan dua sektor penerbangan terus baharu dari Kuala Lumpur ke Shenzhen dan Changsha bagi menampung lonjakan permintaan pasaran terhadap perjalanan di antara kedua-dua buah negara.
Syarikat penerbangan nasional tersebut kini mengendalikan operasi penerbangan ke sembilan pintu masuk utama di negara Tembok Besar itu termasuk Beijing, Shanghai, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Taipei, serta Chengdu.
Sektor penerbangan sulung bagi destinasi Shenzhen telah pun bermula pada 1 Julai lalu melalui operasi komersial penerbangan MH522 yang berlepas dari Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sementara laluan ke Changsha mula dibuka pada 8 Julai melalui penerbangan MH520.
Kedua-dua sektor baharu ini dijadualkan beroperasi sehingga tujuh kali seminggu dengan menggunakan varian pesawat jenis Boeing 737-8.
Ketua Pegawai Eksekutif bagi segmen Perniagaan Penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG), Bryan Foong menyatakan bahawa pelancaran rangkaian ke Shenzhen dan Changsha ini merupakan satu lagi kejayaan bermakna dalam strategi syarikat meluaskan operasi mereka di pasaran China.
“Melalui hubungan terus ke hab serantau yang berkembang pesat ini, kami bukan sahaja menawarkan kemudahan perjalanan yang lebih baik kepada pelanggan, malah menyokong pengukuhan hubungan perniagaan, pelancongan dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
“Ketika Malaysia mengalu-alukan lebih ramai pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, peluasan rangkaian ini turut menyokong aspirasi menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan utama ke Asia dan destinasi lain,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Sebagai tanda meraikan pembukaan sektor baharu ini, Malaysia Airlines sedang menawarkan harga tambang promosi pergi balik yang bermula daripada RM1,088 untuk semua penerbangan ke Shenzhen serta Changsha sehingga tarikh 8 Ogos 2026.
Sumber: KOSMO! ONLINE
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
5 Kereta Bawah RM100k Yang Paling Sedap Dibawa “Road Trip” Jauh