NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

PROTON Jadi Pemangkin Pertumbuhan Industri Automotif, Jualan xEV Terus Meningkat

PROTON Jadi Pemangkin Pertumbuhan Industri Automotif, Jualan xEV Terus Meningkat

KUALA LUMPUR – Prestasi kukuh PROTON bersama peningkatan permintaan terhadap kenderaan elektrik dan hibrid (xEV) menjadi faktor utama yang membantu industri automotif Malaysia terus berkembang sepanjang enam bulan pertama tahun 2026.

Berdasarkan laporan penyelidikan CIMB Securities, Jumlah Volum Industri (TIV) bagi tempoh Januari hingga Jun 2026 meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada 385,353 unit berbanding tempoh sama tahun lalu.

Penganalisis CIMB Securities, Mohd Shanaz Noor Azam berkata, pertumbuhan tersebut banyak disumbangkan oleh jualan kenderaan penumpang, khususnya model keluaran PROTON yang terus mendapat sambutan pengguna.

Menurut beliau, tanpa prestasi jualan PROTON, keseluruhan industri automotif sebenarnya akan merekodkan penyusutan sekitar 5.7 peratus berbanding separuh pertama 2025.

“Ini menunjukkan PROTON memainkan peranan penting dalam mengekalkan momentum pertumbuhan pasaran automotif negara ketika kebanyakan jenama lain berdepan cabaran jualan,” katanya dalam nota penyelidikan.

Pada masa sama, segmen xEV yang merangkumi kenderaan elektrik bateri (BEV) serta model hibrid turut mencipta rekod baharu apabila menguasai sekitar 14.6 peratus daripada keseluruhan TIV pada suku kedua 2026. Ia merupakan bahagian pasaran tertinggi yang pernah dicatatkan bagi segmen tersebut dalam satu suku tahun.

PROTON turut mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila jualannya meningkat 39.5 peratus pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pertumbuhan itu didorong oleh sambutan positif terhadap rangkaian model e.MAS, yang kini menyumbang kira-kira satu perlima daripada jumlah jualan keseluruhan jenama berkenaan.

Selain itu, model e.MAS juga berjaya menguasai sekitar 33 peratus daripada keseluruhan jualan xEV di Malaysia sepanjang suku kedua, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain utama dalam pasaran kenderaan elektrik tempatan.

Bagi prestasi bulanan pula, TIV pada Jun 2026 meningkat sebanyak 9.6 peratus kepada 63,997 unit berbanding Mei. Peningkatan itu dipercayai dipengaruhi oleh jumlah hari bekerja yang lebih banyak selepas musim perayaan, kapasiti pengeluaran yang bertambah serta proses pendaftaran kenderaan yang lebih lancar.

CIMB Securities turut berpandangan peningkatan pendaftaran EV sebanyak 23 peratus pada Jun berkemungkinan disebabkan pembeli mengambil peluang membuat tempahan lebih awal sebelum penguatkuasaan syarat baharu bagi kenderaan elektrik import sepenuhnya (CBU EV) bermula 1 Julai.

Di bawah peraturan baharu itu, semua CBU EV perlu memenuhi nilai minimum kos, insurans dan tambang (CIF) sebanyak RM200,000, sekali gus dijangka memberi kesan kepada pilihan model yang ditawarkan di pasaran Malaysia.

Sumber: Berita Harian

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy