SHAH ALAM: PROTON terus memperkukuhkan komitmennya dalam melahirkan tenaga kerja automotif berkemahiran tinggi menerusi penganjuran PROTON Skills Challenge 2026, pertandingan yang menjadi platform untuk mengiktiraf bakat terbaik dalam rangkaian selepas jualan syarikat.
Berlangsung di Centre for Instructor and Advanced Skill Training (CIAST), pertandingan peringkat kebangsaan itu menghimpunkan 34 finalis daripada pusat pengedar PROTON di seluruh negara selepas berjaya melepasi pusingan kelayakan yang disertai 390 peserta.
Mereka bersaing dalam lima kategori utama iaitu Juruteknik (Technician), Penasihat Servis (Service Advisor), Eksekutif Perhubungan Pelanggan (Customer Relations Executive – CRE/CRA), Penyelaras Kerja (Job Controller) dan Pembantu Alat Ganti (Parts Assistant).

Menurut PROTON, pertandingan ini bukan sekadar mengiktiraf individu cemerlang, malah menjadi medium untuk meningkatkan kompetensi teknikal, menggalakkan perkongsian amalan terbaik serta mempertingkatkan standard perkhidmatan selepas jualan di seluruh rangkaian pengedarnya.
Sepanjang pertandingan, para peserta dinilai menerusi tugasan praktikal berasaskan situasi sebenar yang lazim dihadapi di pusat servis PROTON. Penilaian merangkumi kemahiran teknikal, keupayaan menyelesaikan masalah serta cara mengendalikan pelanggan mengikut piawaian industri.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi Malaysia Automotive, Robotics and IoT Institute (MARii), Datuk Aminar Rashid Salleh, yang menekankan kepentingan kerjasama antara industri dan kerajaan dalam melahirkan tenaga kerja automotif berkemahiran tinggi.
Beliau turut memuji inisiatif PROTON Skills Challenge yang disifatkan mampu meningkatkan kompetensi industri, melahirkan bakat bersedia masa hadapan serta memperkukuhkan daya saing sektor automotif negara.
Turut hadir ialah wakil daripada Malaysia Productivity Corporation (MPC) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), sekali gus mencerminkan kerjasama berterusan antara PROTON, agensi kerajaan dan pemain industri dalam memperkasakan ekosistem pembangunan bakat automotif menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Seiring perkembangan teknologi automotif yang semakin pesat, PROTON melihat pembangunan modal insan sebagai antara keutamaan syarikat bagi memastikan pelanggan terus menerima perkhidmatan berkualiti tinggi.
Melalui latihan berstruktur, laluan pensijilan dan pertandingan berasaskan kemahiran seperti PROTON Skills Challenge, syarikat terus melahirkan tenaga kerja yang memiliki kepakaran dalam aspek teknikal serta perkhidmatan pelanggan.
Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar Sdn Bhd, Dato’ Ir Abdul Rashid Musa berkata, masa depan industri automotif bergantung kepada tenaga kerja yang mampu menguasai teknologi baharu dan memenuhi jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah.
“Menerusi PROTON Skills Challenge, kami bukan sahaja mengiktiraf bakat cemerlang, malah memperkukuhkan komitmen dalam membangunkan profesional Perkhidmatan Teknikal dan Perkhidmatan Pelanggan yang kompeten selaras dengan aspirasi TVET negara.
“Pelaburan berterusan dalam pembangunan modal insan ini memastikan pelanggan menerima standard perkhidmatan tertinggi di seluruh rangkaian PROTON di Malaysia,” katanya.
PROTON berkata, pertandingan ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan syarikat untuk meningkatkan kepuasan pelanggan serta memperkukuhkan standard perkhidmatan selepas jualan.
Melalui pembangunan tenaga kerja yang lebih kompeten dan berkemahiran tinggi, PROTON berharap dapat terus menawarkan pengalaman pemilikan kenderaan yang lebih baik kepada pelanggan di seluruh negara, selaras dengan aspirasi syarikat untuk terus memperkasakan industri automotif tempatan.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?
5 Kereta Bawah RM100k Yang Paling Sedap Dibawa “Road Trip” Jauh