NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

SIC: Malaysia Perlukan Sekurang-Kurangnya RM300 Juta Setahun Jika Mahu Formula 1 Kembali

SIC: Malaysia Perlukan Sekurang-Kurangnya RM300 Juta Setahun Jika Mahu Formula 1 Kembali

KUALA LUMPUR – Hasrat untuk menyaksikan perlumbaan Formula 1 (F1) kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bukan sesuatu yang mustahil, namun ia memerlukan komitmen kewangan yang sangat besar.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, Malaysia perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM300 juta setiap tahun sekiranya mahu menjadi penganjur tetap perlumbaan F1 pada masa hadapan.

Menurut beliau, jumlah tersebut merangkumi yuran hak penganjuran yang dianggarkan antara AS$70 juta hingga AS$80 juta, selain kos penyelenggaraan serta persediaan litar mengikut piawaian ketat yang ditetapkan oleh Formula 1.

“Anggaran saya tidak kurang daripada RM300 juta. Itu merupakan kos minimum yang perlu disediakan jika kita mahu membawa Formula 1 kembali ke Malaysia,” katanya.

Pulangan Ekonomi Boleh Cecah RM1 Bilion

Walaupun memerlukan pelaburan yang tinggi, Azhan percaya manfaat ekonomi yang diterima negara jauh lebih besar.

Beliau menjelaskan kebanyakan negara yang menjadi tuan rumah Formula 1 mampu memperoleh pulangan sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada kos yang dibelanjakan.

“Berdasarkan data yang saya lihat, jika sesebuah negara melabur sekitar RM300 juta untuk menganjurkan Formula 1, potensi pulangan ekonomi boleh mencecah RM1 bilion,” katanya.

Pulangan tersebut bukan sahaja datang daripada jualan tiket, malah melibatkan sektor pelancongan, hotel, restoran, pengangkutan, peruncitan serta peluang perniagaan yang diwujudkan sepanjang acara berlangsung.

Kerajaan Masih Utamakan Kebajikan Rakyat

Bagaimanapun, Azhan mengakui situasi ekonomi semasa menyebabkan kerajaan mempunyai keutamaan lain berbanding membawa masuk acara sukan bertaraf dunia.

Menurutnya, ketika ini fokus kerajaan lebih tertumpu kepada usaha membantu rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup.

Beliau berkata, sebarang keputusan untuk membawa Formula 1 kembali secara tetap perlu mengambil kira kemampuan kewangan negara serta manfaat jangka panjang yang bakal diperoleh.

Selain isu kewangan, satu lagi cabaran utama ialah mendapatkan tempat dalam kalendar perlumbaan Formula 1 yang semakin padat setiap tahun.

“Walaupun kita mempunyai dana, ia tetap tidak boleh dilaksanakan sekiranya tiada slot yang tersedia dalam kalendar Formula 1,” katanya.

Acara Khas Di Sepang Jadi Penanda Aras

Sebagai langkah awal, SIC akan menganjurkan acara Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober.

Acara berkenaan dianjurkan sebagai program khas atau one-off, hasil kerjasama antara SIC, Bahrain dan Formula 1.

Azhan berkata, pihaknya kini memberi tumpuan sepenuhnya untuk memastikan acara tersebut berlangsung dengan lancar.

Menurut beliau, sekiranya penganjuran itu berjaya, ia mampu meningkatkan keyakinan pelbagai pihak termasuk kerajaan Malaysia, kerajaan Bahrain dan pengurusan Formula 1 terhadap potensi Malaysia untuk kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 pada masa hadapan.

Sumber: VOCKET

Gallery

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy