PETALING JAYA – Isuzu Malaysia terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam segmen trak pikap apabila berjaya meningkatkan pegangan pasarannya kepada 17.3 peratus pada suku kedua 2026, didorong oleh sambutan positif terhadap barisan baharu Isuzu D-Max 2.2-litre yang diperkenalkan awal tahun ini.
Peningkatan itu menyaksikan Isuzu menambah tiga mata peratusan berbanding prestasi pada suku sebelumnya, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran pikap tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, enjin diesel 2.2 liter baharu bukan sahaja menawarkan prestasi yang lebih baik, malah memberikan pengalaman pemanduan lebih halus serta penggunaan bahan api yang lebih menjimatkan.
Menurut beliau, gabungan keupayaan lasak yang sinonim dengan Isuzu D-Max bersama teknologi enjin baharu menjadikan model itu lebih sesuai untuk pelbagai keperluan, sama ada kegunaan komersial mahupun harian.
Antara varian yang paling mendapat perhatian ialah Isuzu D-Max 2.2 Standard 4×4 Auto, yang kini menyumbang 36 peratus daripada keseluruhan jualan D-Max di Malaysia.
Isuzu memperkenalkan rangkaian D-Max 2026 pada Mac lalu dengan menawarkan 10 varian, menjadikannya antara pilihan paling lengkap dalam segmen trak pikap di negara ini.
Enjin diesel 2.2 liter baharu itu menggantikan enjin 1.9 liter yang sebelum ini cukup popular dalam kalangan pengguna.
Menurut Isuzu, enjin baharu tersebut menawarkan karekter pemanduan yang lebih responsif, tahap kesenyapan yang lebih baik, penjimatan bahan api yang dipertingkat serta mematuhi piawaian pelepasan emisi Euro 5. Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang dibangunkan bagi mengoptimumkan prestasi enjin baharu itu.

Satu lagi model yang menerima sambutan menggalakkan ialah Isuzu D-Max Single Cab Auto 2.2L, yang merupakan trak pikap kabin tunggal pertama di Malaysia ditawarkan bersama transmisi automatik.
Model tersebut kini menyumbang 60 peratus daripada jualan keseluruhan varian Single Cab dan dijangka terus mencatatkan pertumbuhan apabila semakin ramai pelanggan menghargai gabungan kemudahan transmisi automatik bersama keupayaan sistem pacuan empat roda untuk membawa muatan berat di pelbagai permukaan jalan.

Ketua Pegawai Operasi Bahagian Kenderaan Komersial Ringan Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo berkata, enjin baharu itu membawa satu dimensi baharu kepada pengalaman pemanduan Isuzu D-Max.
Menurut beliau, sejak dilancarkan, gabungan enjin 2.2 liter bersama transmisi automatik lapan kelajuan menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dari segi kuasa, penjimatan bahan api, tahap kesenyapan serta pelepasan emisi.
“Atas sebab itu, kami tidak teragak-agak untuk menggelarnya sebagai ‘Best Engine Ever’,” katanya.
Dengan penawaran enjin 2.2 liter baharu, Isuzu dilihat terus memperkukuhkan daya saing D-Max dalam pasaran Malaysia.
Selain menawarkan prestasi yang lebih responsif, peningkatan dari aspek keselesaan pemanduan dan kecekapan penggunaan bahan api dijangka menjadi faktor utama yang mampu menarik lebih ramai pembeli, sama ada pengguna persendirian mahupun sektor komersial.
Prestasi jualan yang dicatatkan setakat ini juga menunjukkan strategi Isuzu memperkenalkan enjin 2.2 liter sebagai pengganti kepada enjin 1.9 liter mendapat sambutan positif daripada pasaran, sekali gus membantu jenama itu terus meningkatkan penguasaan dalam segmen trak pikap di Malaysia.
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?