ARAU: Niat murni seorang lelaki untuk membantu mangsa kemalangan berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas dirempuh sebuah Perodua Axia yang dipercayai terbabas di Jalan Kuala Perlis-Changlun, berhampiran Sungai Chempa, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.25 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang operator kilang berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, mangsa ketika itu sedang membantu seorang polis bantuan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berusia 36 tahun yang terbabit dalam kemalangan lebih awal.
Menurutnya, sebelum kejadian, kereta Honda City dipandu polis bantuan berkenaan dipercayai terbabas ke bahu kiri jalan sebelum melanggar sebatang pokok selepas melalui kawasan yang digenangi air.
“Operator kilang itu berhenti untuk memberikan bantuan kepada polis bantuan terbabit. Bagaimanapun, ketika mereka berada di lokasi, sebuah Perodua Axia yang dipandu seorang doktor wanita berusia 35 tahun dipercayai terbabas ke kiri jalan lalu melanggar kedua-dua mereka.
“Akibat rempuhan itu, operator kilang berkenaan tercampak ke dalam parit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu Perodua Axia dan polis bantuan tersebut mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk mendapatkan rawatan.
Sementara itu, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik HTF bagi tujuan bedah siasat.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Astro Awani
Puspakom Tiada Lagi Hak Eksklusif Menjalankan Pemeriksaan Bermula 1 September Ini – Anthony Loke
JPJ Umum Panggilan Semula Bagi 3 Jenama Kereta: Kia, Volkswagen, Toyota
5 Kereta Yang Ramai Menyesal Beli Di Malaysia (Menurut Pengalaman Pemilik)
Ramai Menyesal Beli SUV , Tapi Malu Nak Mengaku. Ini 6 Sebab Diorang Menyesal
PROTON X80, SUV Sport Pertama dari Proton?