NAZZ&CO Media

Malaysia's Automotive,
Travel & Lifestyle Media Powerhouse

Perodua Mula Eksport Traz Ke Sri Lanka, Alza Terus Kukuhkan Kehadiran Di Pasaran Antarabangsa

Perodua Mula Eksport Traz Ke Sri Lanka, Alza Terus Kukuhkan Kehadiran Di Pasaran Antarabangsa

RAWANG – Perodua terus mengembangkan pengaruhnya di pasaran luar negara apabila secara rasmi mula mengeksport model terbaharunya, Perodua Traz ke Sri Lanka bersama model MPV popularnya, Perodua Alza.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, Sri Lanka kekal menjadi antara pasaran eksport paling penting buat syarikat itu dengan lebih 20,000 unit kenderaan berjaya dijual sejak tahun 1997.

Menurut beliau, Perodua kini mengeksport kenderaan jenis Completely Built-Up (CBU) ke enam buah negara iaitu Brunei, Fiji, Mauritius, Bangladesh, Papua New Guinea dan Sri Lanka.

Selain itu, Perodua turut merancang untuk memperluaskan eksport kenderaan terpakai (Pre-Owned Vehicles), dengan Timor Leste menjadi antara pasaran baharu yang mula diterokai tahun ini.

Harga Pengenalan Traz Di Sri Lanka

Bagi pasaran Sri Lanka, Perodua Traz ditawarkan pada harga pengenalan khas kepada 50 pelanggan pertama.

Model tersebut dijual pada harga Rs. 19,950,000 bagi versi bersama aksesori tambahan, manakala versi tanpa aksesori ditawarkan pada harga Rs. 19,200,000. Sementara itu, Perodua Alza pula dijual pada harga Rs. 19,950,000, dengan semua harga yang diumumkan termasuk cukai.

Keyakinan Tinggi Terhadap Jenama Perodua

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan United Motors Lanka PLC, Chanaka Yatawara berkata, sambutan terhadap jenama Perodua di Sri Lanka terus meningkat sejak sekatan import kenderaan ditarik balik pada tahun 2025.

Menurut beliau, syarikat itu telah berjaya menjual hampir 3,000 buah kenderaan dalam tempoh tersebut, sekali gus membuktikan keyakinan pengguna tempatan terhadap produk keluaran Perodua.

Beliau turut yakin gabungan keupayaan pengeluaran Perodua serta rangkaian jualan dan servis United Motors Lanka mampu membantu Traz dan Alza meraih lebih ramai pelanggan, khususnya dalam kalangan keluarga dan pemilik perniagaan.

Traz Model Baharu, Alza Terus Mendominasi

Untuk rekod, Perodua Traz diperkenalkan pada Disember 2025 dengan membawa slogan ‘Engineered Simplicity’, yang memfokuskan kepada pengalaman pemanduan yang mudah dan praktikal mengikut keperluan pengguna Malaysia.

Dalam masa sama, Perodua Alza terus membuktikan popularitinya apabila merekodkan sebanyak 19,504 unit pendaftaran bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini berdasarkan data Persatuan Automotif Malaysia (MAA). Pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara MPV paling laris di Malaysia

Alym Asri

Sebagai Pengacara & Ketua Editorial NAZZ&CO™ Media, Alym Asri memiliki kepakaran meluas dalam pengendalian siaran langsung, interaksi audiens, dan promosi kandungan digital. Beliau merupakan nadi kreatif yang sentiasa memacu idea-idea inovatif untuk menghasilkan video berimpak tinggi dan terus relevan di pasaran.
    2.7 Million+ Followers & Readers
    © 2026 NAZZNCO (M) SDN BHD
    Privacy Policy Cookie Policy