passionately driven

JPJ Perlis Sita Nissan GTR R35 Milik Ahli Perniagaan, Cukai Jalan Tamat Sejak Mei

JPJ Perlis Sita Nissan GTR R35 Milik Ahli Perniagaan, Cukai Jalan Tamat Sejak Mei

Sebuah kereta mewah jenis Nissan GTR R35 milik seorang ahli perniagaan dari Kedah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis selepas didapati cukai jalan dan insurans kenderaan tersebut telah tamat sejak Mei lalu.

Menurut Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi, kereta bernilai anggaran RM350,000 itu ditahan di Jalan Chuping–Padang Besar sekitar jam 4 petang semalam ketika rondaan Op Luxury dijalankan.

“Difahamkan pemilik kenderaan berusia 40-an itu datang ke Perlis atas urusan perniagaan dan mendakwa tidak menyedari cukai jalan kenderaannya sudah tamat tempoh,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Perlis, hari ini.

Tambah Noraini, sejak 1 Januari hingga kini, sebanyak 80 kenderaan telah disita atas pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans sah, serta pemandu tanpa lesen.

Daripada jumlah itu, tujuh daripadanya merupakan kenderaan mewah yang ditahan sepanjang pelaksanaan Op Luxury sejak 1 Ogos lalu. Operasi tersebut memberi tumpuan kepada kenderaan mewah yang melanggar peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan.

Dalam perkembangan lain, JPJ Perlis turut mengeluarkan Notis 114 kepada 60 kenderaan perdagangan kerana gagal mengemukakan Slip Pengesahan Kefungsian Speed Limitation Device (SLD) sejak 1 Oktober hingga semalam.

Noraini turut menasihatkan semua pemilik kenderaan, khususnya pemilik kenderaan mewah, agar sentiasa memastikan dokumen kenderaan diperbaharui dan tidak menunggu hingga dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Sumber: Astro Awani

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    Pilih Jenama Kereta

    © 2025 NAZZNCO (M) SDN BHD